Home Tempatan RUU355: Perkasa Mahkamah Syariah dan untuk umat Islam sahaja

RUU355: Perkasa Mahkamah Syariah dan untuk umat Islam sahaja

SHARE
Sumber Gambar: ISMA

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1438H, Selasa – Usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau popularnya dikenali sebagai RUU355 menimbulkan keresahan tidak bertempat dalam kalangan pelbagai pihak.

Ia digembar-gemburkan seolah-olah satu undang-undang baharu cuba diwujudkan dan sebagai laluan kepada pengenalan Hukum Hudud yang diuar-uarkan oleh PAS.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 sebenarnya telah dikuatkuasa sejak 1965 dengan nama Akta Mahkamah Orang-Orang Islam (Bidang Kuasa Jenayah).

Ketika diwujudkan pada tahun 1965, Mahkamah Syariah ketika itu hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman maksimum enam bulan penjara atau denda RM1,000.

Bagaimanapun, mengikut Hanzard semasa perbahasannya di Parlimen pada tahun itu hukuman yang diletakkan melalui Rang Undang-Undang 1965 itu tidak mutlak.

Ini bermakna ia boleh dipinda dan ditambah serta apa yang diperkenalkan pada tahun 1965 itu adalah permulaan kepada satu proses ke arah kesempurnaan, menurut pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah, Prof Madya Shamrahayu A.Aziz.

PERNAH DIPINDA SEBELUM INI

Pindaan pertama dibuat pada tahun 1984 bagi memperluaskan hukuman bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hasilnya hukuman di Mahkamah Syariah telah ditingkatkan kepada hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM500 atau enam kali sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu yang digunapakai sehingga sekarang.

“Pindaan kali pertama itu sejajar dengan dasar penerapan Islam yang dilaksanakan kerajaan ketika itu,” katanya.

Pada tahun 1988, Akta 1965 disemak semula dan diubah namanya kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang kekal sehingga ke hari ini.

Ia telah diterimapakai di semua negeri di Malaysia pada tahun 1989 menurut kuasa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan).

Sudah ketinggalan zaman dan lapok, ramai yang berpandangan demikian termasuk di pihak kerajaan, golongan ulama, ahli akademik mahupun pengamal undang-undang Syariah.

Sudah tiba masanya Akta itu ditambahbaik untuk disesuaikan dengan keadaan semasa terutama meningkatkan hukuman maksimum dalam Akta 355 yang sudah sekian lama tidak dipinda sekaligus memperkasa bidang perundangan Syariah.

Antara lain ia dapat meningkatkan kegerunan orang Islam untuk melakukan kesalahan kerana hukuman yang diterima semakin berat.

HANYA UNTUK ORANG ISLAM

Meskipun sudah wujud sejak lebih 50 tahun, namun tidak ramai yang mengenali Akta 355 sehingga ia menjadi isu hangat diperkatakan terutama sekitar tahun 2015.

Perkara utama yang harus ditekankan kuasa Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada penganut agama Islam seperti yang termaktub di bawah Senarai II bagi senarai Negeri dalam jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, jelasnya.

Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan oleh orang bukan Islam kerana sekatan perlaksanaan undang-undang kesalahan Syariah ini amat jelas peruntukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Ini bermaksud orang bukan Islam tidak boleh didakwa atas kesalahan Syariah dan seterusnya mahkamah Syariah tidak dapat melaksanakan hukuman ke atas orang bukan Islam walaupun dalam keadaan dia membantu orang Islam melakukan kesalahan.

Contoh mudah, orang bukan Islam yang berkhalwat dengan orang Islam tidak boleh dituduh di Mahkamah Syariah atas kesalahan itu.

Malahan bukan Islam yang terlibat itu juga tidak boleh dituduh di mahkamah sivil atas tuduhan membantu orang Islam melakukan kesalahan di bawah undang-undang Syariah.

“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah jaminan terbaik bagi memastikan pindaan kepada Akta 355 ini tidak terkesan ke atas orang-orang bukan Islam ” katanya.

Tegasnya, selagi mana Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda dengan membuka bidang kuasa Mahkamah Syariah kepada orang bukan Islam, sehingga itulah undang-undang kesalahan Syariah tidak akan terpakai pada orang bukan Islam.

Bagaimanapun, orang bukan Islam janganlah pula membantu atau bersubahat dengan orang Islam untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Syariah.

TIDAK BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN

Walaupun ada pihak mendakwa pindaan Akta 355 bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, beliau bagaimanapun menafikannya.

Menjelaskan perkara itu, katanya, tidak ada dalam cadangan pindaan ini yang dilihat bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau peruntukan undang-undang lain.

“Ia adalah pindaan undang-undang biasa dilakukan dalam proses demokrasi,” katanya.

Isu ini menjadi polemik kerana usul pindaan itu diperkenalkan oleh Ahli Parlimen bukan daripada parti pemerintah.

Tetapi ia satu proses yang dibenarkan dalam demokrasi secara umum dan pengenalan kepada usul pindaan ini juga tidak melanggar apa-apa peraturan mesyuarat Parlimen, katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Akta 355 tidak lain bertujuan mengesahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan kesalahan dan hukuman, memperakukan Mahkamah Syariah serta menyeragamkan hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah Syariah di seluruh persekutuan.

Dalam Butiran 1 Senarai Negeri, Parlimen mempunyai kuasa menentukan bidangkuasa berkaitan kesalahan jenayah kepada Mahkamah Syariah.

Peruntukan itu menyatakan Mahkamah Syariah “…tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan jenayah kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan…”.

Frasa ini, katanya, asas mewujudkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Parlimen juga menurut frasa dalam Butiran 1 Senarai Negeri boleh menentukan jenis hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah.

“Ia dalam kata lain mengambil kuasa autonomi negeri-negeri berkenaan undang-undang jenayah Islam kerana membenarkan Badan Perundangan Persekutuan menentukan jumlah had bidang kuasa Mahkamah Syariah yang menyebabkan negeri-negeri tidak boleh meletakkan hukuman sesuka hati,” katanya.

Namun begitu, ia dibenarkan oleh frasa dalam Butiran 1 yang telah dipetik di atas.

Ujarnya, penerangan tentang Akta 355 perlu diteruskan dengan cara yang lebih mudah agar semua pihak memahami hasrat utama pindaan ini agar tidak terus dijadikan polemik yang akan mengelirukan.  – Bernama

Comments