Home Tempatan RUU355: Menteri bukan Islam diberi taklimat

RUU355: Menteri bukan Islam diberi taklimat

SHARE

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi taklimat mengenai usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) kepada menteri-menteri bukan Islam dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, taklimat diberikan perdana menteri kepada menteri-menteri bukan Islam itu bertujuan sebagai persiapan sebelum usul RUU 355 yang bakal dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

“Sehingga hari ini, saya hanya tahu isi kandungan yang terdapat dalam usul pindaan dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebaliknya tidak berapa jelas mengenai usul pindaan yang akan dibawa pihak kerajaan.

“Kami, menteri-menteri bukan Islam akan hadir ke majlis taklimat itu bagi memahami dengan lebih jelas isi kandungan yang terdapat dalam RUU 355. Sekiranya pindaan ini melanggar Perlembagaan Persekutuan, kami akan kemukakan bantahan,” kata Joseph kepada Sin Chew Jit Poh.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari iaitu bermula 6 Mac ini sehingga 6 April depan.

Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pernah membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat mengenai RUU 355 sebanyak dua kali tetapi tidak dibahaskan.

Sementara itu, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlah turut memberitahu, buat masa ini jemaah Kabinet masih belum memutuskan menteri mana yang akan membawa usul RUU355 di sidang Parlimen, sama ada Datuk Seri Jamil Khir Baharom atau Datuk Seri Azalina Othman Said. Masih belum dipastikan lagi.

Menteri-menteri bukan Islam sebelum ini secara terbuka telah menyatakan bantahan mereka terhadap RUU 355, sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua-ketua parti komponen BN ini menjelaskan, walaupun kerajaan telah mengambil alih rang undang-undang itu, tetapi mereka tetap akan menentangnya jika ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sinar Online

Comments