Home Tempatan RUU355: Bukan Islam perlu bersifat terbuka

RUU355: Bukan Islam perlu bersifat terbuka

SHARE

KUALA LUMPUR: Masyarakat bukan Islam di negara ini sepatutnya bersikap terbuka terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang hanya membabitkan umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pindaan terhadap RUU 355 bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Justeru, beliau menganggap tindakan mereka yang menghalang pindaan itu sebagai zalim, apatah lagi dalam sebuah negara yang mengamalkan konsep masyarakat majmuk bersaudara.

“Di Malaysia, kita menerima konsep masyarakat majmuk bersaudara, bukannya bermusuh dan kebencian, maka sepatutnya bersikap saling menghormati antara satu sama lain.

“RUU 355 khusus untuk penganut Islam, sekurang-kurangnya mereka perlu diam dan bersikap terbuka, tetapi malang apabila ada dalam kalangan bukan Islam yang menentang dan berkempen untuk menghalang (daripada dilaksanakan).

“Tindakan menghalang adalah satu kezaliman dan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam dan setiap manusia yang ingin mencari kebenaran dan kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut beranggapan, tentangan kumpulan tertentu termasuk parti politik terhadap RUU355 dibuat secara membuta tuli tanpa benar-benar memahaminya hingga boleh menimbulkan perpecahan masyarakat.

Pada 24 November tahun lalu, Hadi membawa usul pindaan itu menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Beliau membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei tahun lalu tetapi menangguhkan perbahasan dan membentangkan versi yang disemak semula pada November berikutnya.

Pembentangan usul itu mencatat sejarah tersendiri kepada Dewan Rakyat kerana buat pertama kali RUU Persendirian dikemukakan Hadi dibentangkan pada 6 April lalu dan akan dibahaskan pada persidangan akan datang.

Abdul Hadi turut berterima kasih kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang membenarkan RUU 355 dibentangkan dan menangguhkannya bagi memberi peluang lebih panjang kepada semua pihak.

Berita Harian

Comments