Home Tempatan RUU355: Bukan Islam kena faham sejarah perundangan dunia

RUU355: Bukan Islam kena faham sejarah perundangan dunia

SHARE
KUALA LUMPUR, 18 Feb -- Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan penggulungan di hadapan ribuan hadirin Himpunan 355 bagi sokongan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Padang Merbok malam ini.??--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA???

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1438H, Sabtu – Masyarakat bukan Islam perlu menghormati adab perpaduan negara ini dengan tidak mencampuri undang-undang syariah milik umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, orang bukan Islam yang bersungguh-sungguh membantah Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) kena melihat kembali sejarah perundangan dunia.

“Sejarah memperlihatkan undang-undang Islam itu dihormati oleh dunia, iaitu ketika ahli undang-undang antarabangsa mengadakan seminar di Belanda selepas Perang Dunia Kedua.

“Waktu itu, untuk menggubal undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dunia, mereka terpaksa membaca terjemahan al Quran dalam aspek undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dihadapan kira-kira 300,000 peserta perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok, malam tadi.

Haji Hadi juga berkata, sejarah membuktikan, di akhir abad lalu, sekitar awal 1970-an bagaimana dalam kalangan ilmuan Barat bersama Muslim di Makkah menganjurkan pertemuan.

“Dalam pertemuan itu, tokoh-tokoh ilmuan Barat juga mengiktiraf kedudukan syariat Islam yang wajib dibuat kajian oleh dunia.

“Jadi, mereka yang bantah RUU355 di Malaysia ini, hanyalah nyamuk-nyamuk dan agas-agas kecil sahaja.

“Jadi kita persilakan mereka rujuk sejarah senario pengalaman undang-undang di peringkat dunia,” katanya lagi.

Perhimpunan bertemakan ‘Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera’ ini diadakan sebagai usaha menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan akan dibaca buat kali kedua di Parlimen, Mac depan.

 

Comments