Home Tempatan RUU355: Bebas tetap mahu himpun

RUU355: Bebas tetap mahu himpun

SHARE

WALAUPUN menerima pelbagai tuduhan dan kritikan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bebas akan tetap menganjurkan himpunan balas terhadap Himpunan RUU355 anjuran Pas, pada 18 Februari ini.

Jurucakap Bebas, Azrul Mohd Khalib ketika memberitahu Sin Chew Jit Poh, berkata, selepas membuat pengumuman untuk menganjurkan perhimpunan membantah Himpunan RUU355, pihaknya telah menerima tuduhan daripada pelbagai pihak, termasuk Ikatan Muslimim Malaysia (Isma) yang mendakwa perhimpunan anjuran Bebas itu adalah perhimpunan anti Islam.

“Tujuan mengadakan perhimpunan ini untuk membantah usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mana-mana pihak yang mendakwa kami sebagai kumpulan anti Islam adalah sangkaan jahat dan tidak tepat. Itulah taktik yang biasa digunakan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Beliau mengakui, pihaknya menerima cabaran besar untuk mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

“Kami tetap tegas tidak membatalkan perhimpunan ini. Kami akan cuba sedaya upaya meminta orang ramai datang dan berhimpun bersama kami. Mulai minggu ini, kami akan mulai menghebahkan segala maklumat kepada orang ramai melalui media massa,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah sasaran peserta, kata Azrul, pihaknya berharap dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 peserta.

“Kami bukan nak berbandingkan jumlah peserta dengan Pas, kerana yang penting ialah suara bantahan ini dapat disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Sinar Online

Comments