Home Tempatan RUU 355: Sekretariat Ummat anjur himpunan aman esok bantah kenyataan MP Puchong

RUU 355: Sekretariat Ummat anjur himpunan aman esok bantah kenyataan MP Puchong

SHARE

BANGI, 3 Jamadilakhir 1438H, Khamis – Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) akan mengadakan satu perhimpunan aman esok, bagi membantah kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355.

Perhimpunan yang disertai lebih 500 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di bawah gabungan Ummat itu dijadualkan berlangsung selepas solat Jumaat esok, di Masjid Al Husna di Pusat Bandar Puchong.

Susulan daripada perhimpunan itu, beberapa wakil pengundi beragama Islam di Puchong akan menyerahkan memorandum bantahan di pejabat Gobind.

19 Februari lalu, Gobind menegaskan bahawa DAP akan tetap berpegang dengan pendirian sama untuk tidak menyokong sebarang cadangan meminda RUU355 itu, meskipun Himpunan 355 di Padang Merbok mendapat sokongan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia.

Malah Gobind berkata, pihaknya akan terus menentang usul pindaan yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan akan menyatakan alasan menolaknya apabila dibahaskan di Parlimen pada Mac ini.

“Mereka asyik cakap ia hanya membabitkan pindaan untuk memperkasakan undang-undang syariah tapi kita melihat pandangan daripada sudut yang berbeza daripada pelbagai pihak

“Semua pandangan ini akan dibawa ke Dewan Rakyat apabila perkara itu dibahaskan dan kami akan nyatakan sebab secara terperinci mengapa kami menentangnya,” kata Gobind.

Comments