Home Tempatan RUU 355: Perlu beri kefahaman jelas kepada bukan Islam

RUU 355: Perlu beri kefahaman jelas kepada bukan Islam

SHARE

BANGI, 9 Jamadilawal 1438H, Isnin – Penentangan tanpa henti oleh orang bukan Islam terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) adalah disebabkan mereka masih tidak faham dengan tujuan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU 355) ini, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berpendapat, meskipun sudah dibuat pelbagai penerangan, ceramah oleh NGO dan PAS sendiri berkenaan RUU 355 ini, penjelasan yang lebih mendalam perlu difokuskan kepada orang bukan Islam.

“Memang PAS sudah cuba untuk terang, tetapi saya rasa ia perlu lagi diperjelaskan dari masa ke semasa. Ertinya diskusi ilmiah dan penjelasan secara menyeluruh perlu supaya tidak berlaku salah faham atau maklumat yang mendatar semata-mata, sebaliknya biarlah ianya dihadam sebaik mungkin.

“Kadang-kadang mungkin kita dah faham, tapi masih ada sedikit kekeliruan di pihak lain. Saya yakin bila mereka faham sebaik mungkin, maka tidak akan timbul penentangan yang begitu dasyat atau yang tidak berasaskan fakta dan hujah realiti sebenar.

“Mungkin mereka boleh akur dengan hakikat undang-undang Islam RUU 355 ini,” katanya ketika ditemubual Ismaweb baru-baru ini.

Fenomena bantahan terhadap RUU 355 masih berlanjutan sehingga hari ini, sehingga mendesak orang bukan Islam mengadakan perhimpunan balas sebagai bantahan terhadap usul yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini.

Perhimpunan balas anjuran BEBAS itu dijadualkan berlangsung di Padang Merbok, kira-kira 1km daripada Dataran Merdeka, tempat sama perhimpunan RUU 355 yang dianjurkan PAS pada 18 Februari ini.

Mengulas situasi itu, Dr Zulkifli berkata, beliau percaya sekiranya orang bukan Islam betul-betul faham tentang RUU 355 ini mereka tidak akan buat bantahan seperti itu.

“Kalau berlaku kefahaman yang baik dari semua pihak pasti tidak timbul lagi penentangan.

“Ini kerana mereka akan faham matlamat sebenar kita tidak lain tidak bukan adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang bidangkuasanya dihakkan semata-mata kepada orang Islam,” katanya.

Comments