Home Tempatan RUU 355 perlu ada hukuman alternatif sesuai

RUU 355 perlu ada hukuman alternatif sesuai

SHARE

MAHKAMAH Syariah di Malaysia sudah lama wujud, iaitu sejak zaman sebelum kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu. Bagaimanapun, Mahkamah Syariah pada masa itu bukan dikenali dengan nama Mahkamah Syariah tetapi Mahkamah Kadi.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah pada masa kesultanan Melaka merangkumi semua jenis undang-undang Islam termasuk undang-undang jenayah Islam, yang antaranya hukuman potong tangan, rotan dan sebagainya.

Sudah semestinya hukuman yang disebutkan itu adalah hukuman hudud yang bersumberkan daripada nas dalam al-Quran dan juga al-Sunnah.

Selepas British menjajah Tanah Melayu, dengan cara halus mereka membuang sedikit demi sedikit bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah jenayah Syariah dengan memperkenalkan hukuman penjara dan denda.

Selain itu, mereka juga membuang Mahkamah Syariah daripada struktur Mahkamah Persekutuan selepas memperkenalkan Ordinan Mahkamah pada 1948.

Justeru, Mahkamah Syariah atau Mahkamah Kadi sudah diturun pangkat kepada mahkamah negeri sahaja. Hingga kini status Mahkamah Syariah tetap sama.

Di Malaysia, bidang kuasa Mahkamah Syariah sudah mengalami evolusi masa sejak dari dahulu lagi. Pada 1965, Akta Undang-Undang Mahkamah Untuk Orang Islam (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sudah diluluskan, yang mana hukuman maksimum yang boleh dilaksanakan adalah denda RM1,000, enam bulan penjara atau kedua-duanya. Pada masa ini peruntukan untuk hukuman sebat tidak ada.

Akta diberi nama baharu

Pada 1984, akta ini dipinda dan juga diberi nama baharu, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Akta 355.

Kuasa untuk menghukum pesalah jenayah syariah juga sudah dinaik taraf kepada denda RM5,000, hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan juga sebatan yang tidak melebihi enam sebatan. Akta ini hanya mengandungi tiga seksyen iaitu tajuk dan pemakaian, bidang kuasa dan pengesahan.

Mungkin akta ini antara akta yang terpendek di Malaysia. Pada 7 Mac 2016, Yang di-Pertuan Agong ada bertitah ketika pembukaan Parlimen Ke-13 penggal keempat untuk memperkukuhkan institusi agama melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Justeru, ada usul diketengahkan untuk meminda Akta 355 supaya meningkatkan lagi jumlah hukuman di dalam akta itu. Antara hukuman yang dicadangkan adalah sebat 100 kali, denda tidak melebihi RM30,000 dan juga penjara.

Pada pandangan penulis, usul untuk meminda akta ini sangat dialu-alukan. Bagaimanapun, ada beberapa isu yang perlu diketengahkan dan untuk difikirkan bersama-sama. Pertama, hukuman yang sedia ada sudah lama dan perlu dipertingkatkan sealiran dengan ekonomi dan kos sara hidup masyarakat. Jumlah denda yang terlalu rendah boleh menyebabkan orang ramai tidak takut untuk melakukan kesalahan. Pada posisi lain, ada juga segelintir hakim tidak memaksimumkan hukuman yang sedia ada dalam peruntukan di dalam enakmen negeri masing-masing dan memberi denda yang rendah.

Kedua, usul untuk menambah hukuman di dalam Akta 355 itu lebih tertumpu kepada hukuman retributif, iaitu hukuman yang lebih tertumpu untuk menghukum pesalah semata-mata. Sebagai contoh hukuman denda. Denda ini sebenarnya tidak membantu untuk mendidik perasaan dan hati pesalah, terutama jika pesalah ini mempunyai wang untuk membayar denda.

Pada pendapat penulis, usul itu perlu mengetengahkan hukuman alternatif atau restoratif yang lebih fokus kepada mangsa dan juga memperbaiki hubungan antara mangsa dan pesalah. Hukuman alternatif juga membabitkan masyarakat atau agensi agama lain untuk turut sama membantu pesalah agar menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang.

Contoh hukuman alternatif adalah seperti membuat khidmat masyarakat, kaunseling atau menghadiri kelas tertentu untuk membentuk jiwa dan rasa insaf kepada si pesalah.

Justeru, perlu ada peruntukan hukuman alternatif dimasukkan ke dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 bersama-sama dengan hukuman retributif.

Faktor yang ketiga juga berkait rapat dengan faktor kedua yang mana, kita boleh simpulkan bahawa secara umumnya mereka yang melakukan kesalahan jenayah syariah di Malaysia ini adalah ‘naughty Muslims’ dan bukannya ‘hard core criminals’ (seperti membunuh, merompak). Justeru, hukuman alternatif lebih sesuai untuk dikenakan ke atas mereka.

Alami evolusi

Kesimpulannya, setiap jenis undang-undang yang ada di dalam dunia ini mengalami evolusinya tersendiri. Ada sejarah yang berlaku mengapa undang-undang itu wujud. Hakikatnya, pentadbiran undang-undang itu boleh berubah dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan kehendak manusia. Kehendak manusia pula hendaklah berdasarkan kepada perkara fitrah.

Sesungguhnya Syariah Islamiyyah adalah satu bentuk perundangan yang mewakili sifat fitrah manusia. Objektif hukuman dalam undang-undang Islam bukan hanya setakat menghukum tetapi ia juga untuk mendidik manusia serta untuk menakutkan manusia agar tidak melakukan jenayah.

Melihat kepada masalah sosial dalam kalangan orang Islam pada hari ini, pindaan Akta 355 ini sangat perlu dibuat demi menjaga kesucian agama Islam, melindungi akidah umat islam, mendidik umat Islam agar patuh dan menghormati undang-undang sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Tidak salah juga untuk kita mengundur ke belakang dan melihat ke zaman kesultanan Melaka bagaimana undang-undang Islam dilaksanakan dan dijadikan sebagai satu asas di dalam pentadbiran agama Islam.

Berita Harian

Comments