Home Tempatan RUU 355: MCA semakin tertekan

RUU 355: MCA semakin tertekan

SHARE

Kedudukan MCA dalam BN bagaikan berada dalam keadaan dilema menjelang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan dibentangkan di Parlimen, Mac depan.

Sebaik sahaja Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa RUU 355, dengan persetujuan Umno ke Parlimen, MCA daripada peringkat awal lagi membantah dengan sekeras-kerasnya.

Sehingga hari ini, Umno tetap tidak berganjak dengan keputusannya untuk membantu memenuhi hasrat Presiden Pas itu.

Itulah yang menyebabkan MCA semakin tertekan sehingga memaksa Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menuduh Umno menjadi dalang sekiranya BN mengalami perpecahan.

Melalui tulisan Penolong Ketua Pengarang Sin Chew Jit Poh, Tay Tian Yan menggambarkan empat keadaan yang bakal dialami MCA, sama ada mengubah pendirian dengan menyokong RUU 355; kedua, berpegang pada pendirian untuk tetap membantah; ketiga, bekerjasama dengan parti-parti lain untuk memaksa Umno menarik keputusan asal dan keempat, memujuk Umno untuk menangguhkan buat sementara pembentangan pindaan akta berkenaan.

Tian Yan menulis, sekiranya MCA mengubah pendirian dengan memberi sokongan, sudah tentu parti itu akan dilihat akur dengan kehendak Umno dan mengorbankan kepentingan masyarakat Cina.

“Sekiranya berlaku keadaan ini, maruah dan imej MCA akan terus tercalar dan tidak mungkin akan menerima sokongan daripada pengundi Cina lagi.

“Begitu juga sekiranya MCA mengambil keputusan terus membantah, nasibnya pun tidak jauh beza sehingga kemungkinan terpaksa meninggalkan BN dan bekerjasama dengan parti-parti lain yang didukung oleh majoriti Cina,” katanya.

Beliau turut berpendapat, satu lagi jalan yang boleh dipilih MCA ialah cuba mendapatkan sokongan daripada parti lain ataupun calon bebas untuk bersepakat membantah RUU 355.

Manakala pilihan keempat untuk MCA, jelas penulis ini ialah seboleh-bolehnya memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno agar menangguhkan agenda tersebut sehingga berakhirnya PRU14.

“Mungkin pilihan keempat ini akan menguntungkan MCA dan ia sebenarnya memenuhi hasrat majoriti kaum Cina. Namun, pilihan ini tidak semestinya dipersetujui oleh Umno dan Pas,” katanya.

Sinar Online

Comments