Home Tempatan RUU 355: Manfaat Besar Kepada Bukan Islam

RUU 355: Manfaat Besar Kepada Bukan Islam

SHARE

‘Himpunan 355’ tidak sekali-kali akan memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia malah akan mengeratkan lagi hubungan harmoni sesama kaum. Hal ini ditegaskan oleh wakil pihak penganjur ‘Himpunan 355’, Kamaruzaman Mohamad merangkap Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Wilayah Persekutuan bahawa tuduhan sesetengah pihak terutamanya mereka-mereka yang menentang ‘Himpunan 355’ sebagai bakal memecah-belahkan masyarakat adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Kata beliau lagi ‘Himpunan 355’ kelak bakal mendapat sokongan bukan Islam. Pihak penganjur juga telah menggerakkan pembabitan bukan Islam dalam jerayawara (jelajah) yang dibuat terlebih awal sebelum tarikh Himpun 355 yakni pada 18hb Februari 2017.

“Himpunan ini akan mempertautkan lagi hubungan di antara kaum, kerana dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah ia akan menyebabkan komuniti Islam Melayu yang akan lebih berdisplin dan lebih baik. Jadi kebaikan ini akan membawa bersama kesannya kepada kaum-kaum lain. Ianya tidak harus dilihat sebagai usaha untuk meminggirkan bukan Islam malah usaha bersama ke arah kebaikan. Malah sedari awal juga pihak penganjur telah melibatkan pihak bukan Islam dalam ‘roadshows’ yang telah berlangsung.”

Kata Kamaruzaman lagi kumpulan bukan Islam juga telah dijemput melalui jaringan ngo-ngo bukan bertunjangkan Islam untuk datang dan terlibat sama dalam ‘Himpunan 355’. Beliau juga yakin persediaan yang dibuat setakat ini berjalan dengan baik.

“Kami telah menyediakan lebih 2000 petugas Unit Amal untuk menjaga keselamatan dan lalu-lintas. Kami juga membuka peluang sukarelawan melalui laman web ‘Himpunan 355’, untuk sukarelawan mendaftar untuk membantu berkhidmat pada hari tersebut. Kami sasarkan sehingga 1500 sukarelawan memberi sumbangan, untuk menjaga kebersihan dan kes kecemasan. Dalam pada itu pihak penganjur juga telah menyediakan seramai 20 orang pakar perubatan yang akan berada di lapangan untuk membantu kes-kes kecemasan dan perubatan.”

Rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang sama-sama dijemput untuk menyatakan sokongan pemerkasaan Mahkamah Syariah pada ‘Himpunan 355’ yang bakal diadakan pada 18hb Februari akan datang. Ramai termasuk kumpulan ngo-ngo Melayu Islam telah menyatakan sokongan untuk hadir sebagai tanda sokongan kepada pemerkasaan RUU355.

Comments