Home Tempatan RUU 355: Kumpulan paderi desak Sarawak nyata bantahan jelas

RUU 355: Kumpulan paderi desak Sarawak nyata bantahan jelas

Sarawak Ministers’ Fellowship berkata, hanya 4 daripada 31 ahli Parlimen negeri itu memberi maklum balas terhadap surat meminta mereka mengumumkan pendirian terhadap RUU 355.

SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak perlu membuat kenyataan jelas membantah rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, bagi membuktikan janjinya dalam mengamalkan kebebasan beragama di negeri itu, kata sebuah gabungan agama Kristian.

Sarawak Ministers’ Fellowship (SMF) yang dianggotai pastor dan paderi Kristian di negeri itu bimbang kerajaan negeri tidak menyuarakan pendirian secara jelas, walaupun ada pemimpin Sarawak yang pernah menyuarakan bantahan terhadap RUU 355.

Pengerusinya, Daron Tan berkata, SMF pada awal bulan ini sudah menulis surat kepada setiap ahli Parlimen di Sarawak bagi meminta mereka mengumumkan pendirian masing-masing berhubung RUU 355 yang dijangka dibentangkan di Parlimen yang akan bersidang sehingga 6 April ini.

Katanya, SMF melalui surat itu menggesa ahli Parlimen memberi komitmen untuk menghadiri sidang Parlimen dan mengundi menentang RUU 355 bagi mendokong kesejahteraan, keamanan dan keadilan buat masyarakat bukan Islam.

“Alasan untuk tindakan ini ialah SMF mahu ahli Parlimen Sarawak dibimbang prinsip pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hanya 4 daripada 31 ahli Parlimen di Sarawak memberi maklum balas terhadap surat itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau; Ahli Parlimen Sibu; Oscar Ling dan Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang anak Gandum.

“Kami bimbang dengan tindakan mendiamkan diri oleh ahli Parlimen lain yang kami hubungi.”

Pada 18 Mac lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dipetik Bernama sebagai berkata, beliau sudah menyatakan pendiriannya berhubung RUU 355 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Johari berkata, pendirian itu disampaikan selepas pertemuannya dengan ahli Parlimen Sarawak mengenai perkara itu.

Tan bagaimanapun berkata, Johari tidak mengumumkan pendirian itu.

Katanya, ahli Parlimen BN dan pembangkang dari Sarawak perlu mengambil pendirian bersama terhadap RUU 355 bagi mengotakan janji yang mereka berikan ketika memasuki Parlimen untuk melindungi, mempertahan dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kesan kepada orang bukan Islam adalah serius dan menyeluruh serta boleh membawa kepada ketidakadilan dan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963.

“Keutamaan bagi Sarawak ialah memenuhi janji dan prasyarat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Jika RUU itu diluluskan, ia akan meningkatkan konflik antara agama. Hakisan progresif yang sedang berlaku ke atas kebebasan beragama menyukarkan lagi keadaan.”

Katanya, ia akan membawa kepada pergolakan di Sarawak dan bahagian lain di negara ini kerana sebuah kumpulan “memijak hak dan kepentingan” kumpulan lain atas nama agama.

Beliau berkata, dokumen sejarah berkaitan pembentukan Malaysia banyak menekankan perlindungan terhadap kebebasan beragama berdasarkan semangat dan konsep “kebebasan beragama sepenuhnya”.

RUU 355 pertama kali dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Pada 17 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan BN akan membentangkan sendiri RUU 355 di Parlimen tidak lama lagi.

Free Malaysia Today

 

Comments