Home Tempatan RUU 355 Bukan Hudud, Sedia Sokong – Muhyiddin Yassin

RUU 355 Bukan Hudud, Sedia Sokong – Muhyiddin Yassin

SHARE

Kuala Lumpur: Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata tidak ada halangan untuk menyokong Pindaan RUU 355 asalkan ianya untuk kebaikan umat Islam dan bukan digunakan sebagai motif politik.

Beliau juga mahu kerajaan agar menyediakan sumber-sumber yang mencukupi kepada Mahkamah Syariah, baik dari segi kewangan, kepakaran dan sumber manusia. Selain mencadangkan Hakim-Hakim Syarie Mahkamah Tinggi ke atas tidak lagi tertakluk sebagai penjawat awam dan satu skim khas sebagaimana Hakim Mahkamah Sivil dibentuk bagi Hakim Syarie seluruh Malaysia.

“Yang penting bagi saya ialah pembentangan Rang Undang-Undang ini mestilah untuk kebaikan umat Islam dan saya tidak melihatnya daripada perspektif lain termasuk politik,” katanya.

Kata beliau, Rang Udang-Undang ini juga bukanlah satu Rang Undang-Undang untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia. Malah, ia hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989.

Menurut Tan Sri Muhyiddin lagi, Rang Undang-Undang ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam sebagaimana diulang-ulang dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, juga disebut dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta 355 sendiri.

Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai ke atas orang-orang Islam sahaja dan prinsip ini tidak berubah dengan pindaan yang dicadangkan.

Comments