Home Tempatan RUU 355: Beri peluang kepada umat Islam

RUU 355: Beri peluang kepada umat Islam

SHARE
Hadi Awang

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuntut umat Islam di negara ini untuk menunjukkan komitmen terhadap pemerkasaan undang-undang syariah Islam, dengan menghadiri Himpunan 355 pada 18 Februari ini.

Himpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara itu, bakal menjadi satu lambang dan syiar bagi membuktikan rakyat Malaysia beragama Islam mendukung agama mereka.

Pada masa sama, penganut agama lain turut dialu-alukan untuk bersama menyertai himpunan berkenaan, bagi menunjukkan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

“Sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada negara ini menunjukkan hikmah undang-undang syariah dilaksanakan kepada seluruh rakyat Malaysia dan untuk mendidik umat Islam.

“Pindaan Akta 355 sekiranya diluluskan, membolehkan konsep keadilan dalam sistem mahkamah Islam diperkenalkan. Hukuman dalam syariah Islam adalah untuk mendidik masyarakat, bukan mendera masyarakat, manakala masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang, takut dan khuatir.

“Rang undang-undang ini tidak ada kena-mengena dengan agama mereka kerana perlembagaan telah menetapkan bidang mahkamah syariah, kuasanya terhadap umat Islam sahaja. Berilah peluang kepada umat Islam untuk menegakkan agama sendiri,” katanya dalam video perutusan khas yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, semalam.

Beliau yang sering menegaskan tidak ada sebab bagi orang bukan Islam menentang RUU 355 dan menyifatkan orang Islam yang bertindak menentangnya sebagai bebal, sedangkan menjadi tanggungjawab penganut Islam sendiri untuk mendukung dan meninggikan agama mereka sendiri.

Abdul Hadi yang juga pembawa usul pindaan RUU 355 berkata, pejuang kemerdekaan yang lalu telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Pada masa sama katanya, kebebasan beragama kepada penganut agama lain dan konsep kebebasan beragama menepati ajaran Islam.

Justeru katanya, sudah tiba masa untuk umat Islam diberi peluang menegakkan agama mereka dan membebaskan daripada kepungan penjajah yang telah meninggalkan negara ini.

“Mudah-mudahan himpunan ini diberi berkat oleh ALLAH SWT, mudah-mudahan mereka yang hadir diberi pahala, diberi kelebihan dunia dan akhirat,” katanya.

Sinar Online

Comments