Home Surat RUU 355 Bakal Memecahkan Parlimen

RUU 355 Bakal Memecahkan Parlimen

SHARE

Setelah menghadiri dua pertemuan dengan kumpulan yang kuat menentang Usul RUU 355, satu Forum MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur pada 10 Mac 2017 dan sekali lagi Debat anjuran BEBAS pada Jumaat, 17 Mac 2017 di Petaling Jaya. Kita berterima kasih kerana dapat mendalami suara-suara penentangan terhadap Usul RUU 355, sebenarnya jumlah mereka tidak seramai suara yang menyokong daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam Malaysia. Namun dengan sokongan media sosial, suara mereka kedengaran jelas seolah-olah suara majoriti. Seperti yang Haris Ibrahim sebut dalam sesi debat berkenaan, “demokrasi membenarkan suara minoriti didengari.”

Kita boleh hampir rumuskan bahawa, non-Muslim yang menentang adalah kerana faktor politik (mengambil peluang semasa menekan kerajaan semaksimum yang boleh) dan ekonomi (mempertahankan industri dosa yang dinaungi bukan Islam menjadikan orang Islam sebagai pekerja dan pelanggan industri maksiat tersebut, yang nilainya barangkali mencecah nilai berbilion ringgit!).

Apakah orang Islam benar-benar peduli jika orang Islam sendiri terjebak dalam maksiat? Seperti dalam Forum MCA berkenaan, benarkah MCA kata mereka kasihan melihat batas hukuman dalam RUU 355 ditingkatkan dan ini “berat sebelah” berbanding dengan hukuman undang-undang sivil sedia ada? Maka kita ingin katakan: majoriti orang Melayu-Islam tahu, sedar dan amat faham permainan yang sedang diwayang-cinakan oleh MCA dan DAP!

Terima kasih MCA (wakili parti politik bukan Islam dalam BN?) kerana telah benar-benar terpaksa meluahkan isi hati mereka. Terima kasih Dato’ Ambiga (wakil bukan Islam, bukan parti politik, NGO liberal), Haris Ibrahim (wakil Islam dan NGO liberal Islam) kerana berterus-terang kepada kami yang mewakili suara majoriti umat Islam.

Inilah akibatnya apabila manusia meletakkan nilai marah dan benci melebihi pertimbangan rasional. Ini kesannya berjuang atas landasan dendam kesumat terhadap Islam. Tersasar akhirnya. Kita tak kata wakil-wakil panelis yang menentang Usul RUU 355 sebagai kurang berpendidikan atau tidak berpengetahuan malah mereka adalah peguam tersohor dalam bidang masing-masing. Namun yang jelasnya mereka mempunyai agenda tersendiri serta dendam kesumat yang amat mendalam terhadap kemaraan majoriti umat Islam di Malaysia yang ingin memperkasakan Islam dalam perundangan negara menerusi pindaan Akta 355.

Sebagai contoh, amat tidak logik hujah Ambiga selaku peguam yang berpengalaman dan terkenal apabila beliau mengatakan dia menentang Usul RUU 355 kerana “ia adalah hudud tetapi tidak menentang Akta 355 yang asal kerana pada pendapatnya Akta 355 sedia ada bukannya hudud dan beliau tiada masalah untuk mengekalkannya”. Hello Ambiga…..kita ingin katakan: cadangan pindaan dalam Usul RUU 355 itu hanyalah untuk tingkatkan batas hukuman daripada 3 tahun penjara, RM5,000.00 denda dan 6 kali sebatan kepada 30 tahun penjara, denda sebanyak RM100,000.00 dan sebatan 100 kali dan tidak lebih daripada itu. Di manakah wujudnya pertambahan hukuman baru yang dikatakan Ambiga mengandungi elemen hudud dalam RUU 355 itu selain apa yang sudah sedia dalam Akta 355? Come on…..The fact is, if deep inside you disagree with syariah laws as a whole to be gazetted as a law, please say it clearly, including the existing Act 355!

Begitu juga, amat pelik apabila Ambiga berkata bahawa beliau menyokong dan mempertahankan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi Malaysia tetapi ironinya beliau selaku bekas Presiden Majlis Peguam yang gagal memahami pengertian Artikel 3(1) berkaitan Islam sebagai agama negara (religion of the federation) dan Artikel 37 Perlembagaan mengenai Sumpah Jawatan Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Negara untuk mempertahankan Islam dalam Perlembagaan negara. Itulah yang kita maksudkan: jangan politikkan isu agama yang sudah jelas termaktub dalam perlembagaan kerana hanya nak ikut lenggok DAP dan sekutunya termasuk MCA bermain wayang!

Kita juga teramat sedih apabila mendengar pandangan seorang peguam Muslim bernama Haris Ibrahim berhujah mengenai Islam berdasarkan perspektif yang beliau faham. Beliau terang-terang mengaku tidak boleh berbahasa Arab tetapi mengisytihar telah mengkaji Islam (dengan cara beliau tersendiri pastinya). Islam yang dia faham, menurut mereka adalah jauh lebih baik, lebih maaf-memaafkan, lebih mengasihi dan menyayangi daripada Islam yang disampaikan oleh ramai ulamak kontemporari yang wujud pada hari ini. Inilah Haris Ibrahim yang merupakan peguam yang kuat berjuang atas isu-isu liberal, hak bebas seseorang mengamalkan Islam, LGBT, kebebasan peribadi dan penegak ‘suara demokrasi’ sekian lama. Haris tidak bersetuju isu-isu khalwat, minum arak, zina dan sebagainya dikanunkan sebagai kesalahan di dalam undang-undang negara dan menentang penguatkuasaan moral dilakukan dalam negara kita Malaysia yang bersifat pelbagai kaum dan agama.

Debat itu juga mengemukakan dua panelis muda Muslim, Aidil Khalid dan Lukman Sherif yang mempertahankan Usul RUU 355 yang dengan jelas menyatakan bahawa (i) sejarah Islam membuktikan Syariah Islam sudahpun menjadi undang-undang negeri-negeri Tanah Melayu semenjak beratus tahun sebelum kehadiran penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris (ii) Usul RUU 355 tiada kaitan dengan non-Muslim (iii) Usul RUU bertujuan meningkatkan batas hukuman kesalahan syariah dalam Akta 355 sedia ada (iv) Usul RUU akan memperkasakan Mahkamah Syariah (v) kelulusan Parlimen akan dibawa kepada persetujuan Majlis Raja-Raja untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri-Negeri yang memperincikan bentuk dan kaedah pelaksanaan hukuman berdasarkan had pindaan terkini. (vi) Pindaan RUU 355 hanya melibatkan Jadual Kesembilan, Senarai Negeri, Butiran 1 perlembagaan negara dan bukannya hukuman di bawah Senarai Persekutuan.

Sesungguhnya hujah-hujah dua panelis yang pro Usul RUU 355 itu amat bertepatan dan seiringan dengan lontaran mantap oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang memberikan syarahannya di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 25 Mac 2017 di mana beliau terus terang menyokong “Islam as the Law of the Land” berdasarkan huraian ke atas Artikel 3 dan 4 Perlembagaan Persekutuan yang sepatutnya menjadi asas dan teras hujah utama mengenai perlembagaan Malaysia oleh semua pengamal undang-undang di Malaysia. Pandangan Tun Fairuz bahawa Akta 355 bukannya hudud dan pindaannya juga bukanlah hudud mematikan hujah Ambiga, Haris, Kevin Koo, Ti Lian Ker, Sardar Singh dan segerombolan mereka yang menentangnya!

Rasanya sudah tiba untuk parti UMNO menyatakan pendirian jelas untuk menyokong RUU 355 sebagaimana kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri tempoh hari bahawa kerajaan akan menyokong pembentangannya di Parlimen. Kenyataaan ini amat dinanti-nantikan oleh umat Islam dan NGO Islam (NGI), apatah lagi ratusan ribu yang pernah membanjiri Padang Merbok seharian termasuk mereka yang bertahan di tengah-tengah hujan terdahulunya. Kita amat menantikan detik itu. Jika berlaku demikian, sudah jelaslah parlimen dibelah dua blok utama: satu blok diketuai BN dan PAS memperjuangkan Islam untuk didaulatkan dalam perlembagaan negara dan satu blok lagi diketuai DAP dan sekutunya yang jelas cuba menolak kedaulatan Islam dalam perlembagaan Malaysia. Seluruh negara menantikan hujah-hujah kedua-dua pihak dengan penuh debaran di battle ground yang sama, iaitu di Dewan Parlimen yang mulia itu.

Rijaludin Hj Abdullah adalah pembaca Menara.my

Comments