Home Pendapat Runtuh Raja, Bangkit Sekular

Runtuh Raja, Bangkit Sekular

SHARE

Raja ibarat ‘payung yang melindungi rakyatnya’. Ini bukan retorik atau propaganda, malah inilah hakikat yang sepatutnya kita hadam dan faham, agar institusi Raja-Raja Melayu terus terpelihara walau dengan apa cara sekalipun. Dalam menghadapi era kemodenan, kita semakin alpa akan pentingnya peranan Raja dalam mempertahankan agama Islam dari anasir-anasir luar yang berhasrat merampas kedaulatan agama Islam.

Seringkali kita mendengar desas-desus yang mempertikaikan peranan sistem beraja yang kononya tidak lagi relevan. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan ura-ura ini hanyalah dakyah khadam agenda sekularisme yang mahu melihat institusi Raja-Raja terhapus dan terkubur. Satu cara yang amat licik dan keji!

Lembaran sejarah telah menyaksikan keruntuhan sistem beraja di beberapa buah negara yang meragut identiti, kesatuan, maruah dan kedaulatan umat Islam.

Turki yang pernah dikenali sebagai sebuah negara Islam yang ‘gah’ berabad lamanya terutama semasa era kegemilangan Khilafah Uthmaniyyah.  Sultan Murad I merupakan sultan Uthmaniyyah pertama yang menggunakan gelaran ’Sultan’. Empayar Uthmaniyyah bukan sahaja berjaya menguasai sebahagian besar wilayah Eropah, malah, turut menjuarai aspek politik, ekonomi dan sosial sehingga menggerunkan kuasa barat ketika itu.

Sayang seribu kali sayang, semuanya berakhir secara rasmi pada tahun 1922 apabila Kerajaan Islam Uthmaniyyah terbubar dan  tidak lagi menjadi negara yang mempunyai sistem pemerintahan beraja (monarki). Ini kerana institusi Raja-Raja telah digantikan dengan pemerintahan bercorak republik di bawah pimpinan Mustafa Kemal Atartuk yang membawa kepada pembukaan jalan perluasan dakyah sekular yang meminggirkan Islam secara total. Pencerobohan ini sememangnya satu penghinaan yang tidak dapat dimaafkan. Masjid dilarang melaungkan azan, pemakaian hijab dilarang di dalam pejabat-pejabat kerajaan dan lain-lain bentuk penindasan yang tidak terkira banyaknya.

Menyedihkan apabila Indonesia juga mengalami nasib yang sama. Tragedi 3 Mac 1946, menjadi detik hitam bagi orang Melayu Sumatera Timur apabila beberapa orang Sultan dibunuh dengan kejam dan sangat tragis oleh puak Pro komunis.

Dalam diam, puak Pro Komunis telah merancang menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu melalui penyebaran sentimen dan fitnah kononnya Sultan menindas rakyat. Fitnah ini berbekas dalam benak fikiran rakyat, dan akhirnya membawa kepada pembunuhan kerabat diRaja secara besar-besaran. Ada yang dipenggal kepalanya, dibenamkan di dalam laut, ditanam hidup-hidup dan berbagai cara lain yang sememangnya zalim dan sadis.

Kesan dari detik hitam itu, etnik Melayu menjadi kaum minoriti yang tidak berkuasa di tanah sendiri. Mereka takut untuk menonjolkan identiti Melayu mahupun memakai pakaian Melayu demi mengelakkan diri dari diserang oleh nasionalis Indonesia.

Nasi sudah menjadi bubur. Apa yang berlaku telah menjadi sejarah lampau yang tidak mungkin dapat diundur kembali. Kegagalan dalam mempertahankan Institusi Raja-raja harus menjadi iktibar dan pengajaran berharga kepada bangsa Melayu. Dengan kegagalan institusi diRaja, maka benteng yang menjadi pelindung kepada Islam akan binasa. Tanpa benteng ini sesebuah negara itu bebas diperkotak-katikkan dengan apa jua jenis fahaman yang tidak selari dengan ajaran Islam. Sejarah telahpun menjadi saksi ke atas dakwaan ini, sanggupkah kita pula menyaksikan kedaulatan Islam diratah sedemikian rupa jika institusi ini runtuh? Tepuk dada Tanya selera.

Comments