Home Antarabangsa Rundingan damai Syria: Apa yang Rusia mahu?

Rundingan damai Syria: Apa yang Rusia mahu?

Duta Rusia tepis tuntutan pembangkang yang mahu Bashar al-Assad berundur dan tidak mahu Kesatuan Eropah bantu biaya pembangunan semula Syria

SHARE

GENEVA: Rundingan damai Syria tajaan PBB yang pertama dikhuatiri tergendala, ketika para pegawai yang terlibat terlalu memikirkan siapa akan bertemu siapa pada pertemuan nanti.

Bagaimanapun di belakang tabir, para diplomat merasakan sebahagian besarnya akan ditentukan Rusia.

Rusia dan Amerika Syarikat penggerak utama dalam rundingan damai sebelum ini, yang tergendala apabila peperangan melarat.

Apabila AS berundur daripada mengemudi usaha diplomatik, Rusia – yang menukar hala tuju perang di Syria dan membantu Presiden Bashar al-Assad menawan Aleppo melalui campur tangan ketenteraan – berpotensi menjadi penentu.

Namun pengakhirannya masih belum jelas.

“Tugas kami hanya untuk menstabilkan pihak berkuasa yang sah dan menghapuskan pengganas antarabangsa,” kata Presiden Vladimir Putin pada Khamis di suatu acara tentera ketika rundingan Geneva bermula.

Moscow berusaha menghidupkan semula diplomasi sejak tentera udaranya membantu askar Syria dan militia sekutu menewaskan pemberontak di Aleppo pada Disember, kemenangan terbesar Assad dalam 6 tahun peperangan.

Rusia bersama Turki dan Iran menganjurkan rundingan dalaman Syria di ibu negara Kazakhstan, Astana, bagi mengukuhkan gencatan senjata yang goyah, dan meluaskan bidang kuasa mereka meliputi aspek politik, termasuk mengumumkan cadangan perlembagaan baharu yang dirangka Moscow.

Apabila Astana mengendalikan gencatan senjata itu, Geneva berada dalam teka-teki politik dan mandat PBB untuk membincangkan perlembagaan baharu, pilihan raya seliaan PBB dan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Masih ada ruang untuk tafsiran berbeza, dan belum jelas sejauh mana Rusia sedia mengenakan tekanan ke atas kerajaan Syria agar suatu perjanjian politik dicapai dengan pembangkang.

Rusia menyokong penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, namun seorang diplomat kanan Eropah berkata itu bermakna beberapa orang pembangkang akan dibawa masuk untuk menjaga kementerian sukan dan tidak membendung kuasa Assad.

“Kalau mereka bersungguh mahu mengerakkan proses damai ini, mereka boleh beri tiket penerbangan kepada Assad dan menghantarnya ke Caracas (ibu negara Venezuela),” katanya.

Kelebihan Rusia

Pembangkang mahu Assad, yang memerintah Syria sejak 17 tahun lepas, melepaskan kuasa. Duta Rusia di Geneva, Alexei Borodavkin berkata tuntutan seperti itu mengarut.

Negara Eropah yang menyokong pemberontak berharap Rusia akan berminat dengan prospek Kesatuan Eropah membantu menanggung biaya pembangunan semula Syria – yang dijangka menelan belanja puluhan bilion dolar – jika semua pihak menandatangani perjanjian politik menamatkan konflik.

Borodavkin menolak hujah itu, dan berkata Rusia sudah memberi bantuan yang besar kepada Syria dan dengan menyokong kejayaan tentera Assad, menyelamtkan Eropah daripada 7 juta warga Syria yang mahu berhijrah.

Sokongan tentera Rusia memberikan kelebihan ke atas Assad, namun belum jelas sama ada ia akan menangguhkan kempen tentara Assad atau menyokong beliau sepenuhnya.

Gencatan senjata sekurang-kurangnya berkuat kuasa di seluruh Syria, tetapi tidak melindungi kumpulan yang dilabel PBB sebagai pengganas, dan – menurut Rusia – ahli gabungan mereka. Ramai pemerhati merasakan gencatan itu memberi kebebasan kepada Assad menyerang penentangnya.

Walaupun Rusia menyeru kerajaan Syria supaya menghentikan serangan sebelum rundingan bermula, pertempuran terus berlaku dan pesawat Syria terus mengebom kawasan pemberontak di wilayah Aleppo, Deraa dan Hama dan pemberontak menembak roket ke arah sasaran mereka.

“Kita tiada pilihan kecuali menyertai permainan Rusia dan cuba menghalang cubaan mencapai kejayaan ketenteraan sepenuhnya dan membawa kembali ke Geneva dan berharap sesuatu boleh dicapai di situ,” kata seorang diplomat kanan Barat.

“Masih tiada kepastian perjanjian bagaimana yang boleh diterima Rusia.”

Soalan masih berlegar sama ada Rusia mempunyai pengaruh ke atas sekutu Assad dan militia yang disokongnya, atau sekadar membutakan mata ketika mereka cuba mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Rejim dan Hezbollah mahu membersihkan kawasan sekitar Damsyik yang masih menjadi ancaman kepada ibu negara,” kata diplomat itu. “Selepas itu mereka akan bergerak ke Idlib atau Deraa di selatan.”

Setakat ini, tiada banyak bukti yang meunjukkan Moscow menekan delegasi kerajaan. Cadangan perlembangaan yang dirangka Rusia secara tidak langsung menyebut Assad akan terus memerintah untuk beberapa penggal 7-tahun lagi.

“Rusia tidak mempunyai sebarang pendirian mengenai Assad,” kata Vasily Kuznetsov, pakar di Majlis Hal Ehwal Antarabangsa Rusia.

Nasib Syria terletak pada tangan rakyat Syria, katanya, dan kerajaan Rusia bersedia menerima hasil pilihan raya seliaan PBB.

Free Malaysia Today

Comments