Home Tempatan Rumah Ngaji OKU intelek USM

Rumah Ngaji OKU intelek USM

SHARE

KOTA BHARU – Usaha kolaborasi antara Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kubang Kerian dengan Rumah Ngaji orang kurang upaya (OKU) Intelek USM Kampus kesihatan (USMKK), Formula Al-Hidayah dan QuranOn mampu memberi keyakinan diri kepada anak-anak istimewa belajar al-Quran secara mudah.

Setiausaha PDK Kubang Kerian, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, kesedaran mengenai usaha membantu anak-anak OKU intelek berkenaan perlu dikembangkan lagi dari peringkat awal.

“Kaedah ini membolehkan anak-anak OKU mudah faham semasa belajar al-Quran, malah ia juga penting kerana memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai anak istimewa termasuk fokus terhadap keagamaan, pendidikan dan fardu ain.

“Program ini juga perlu diperluaskan dalam usaha menggalakkan anak-anak di seluruh daerah di Kelantan mendapat manfaat menerusi Rumah Ngaji OKU Intelek PDK Kubang Kerian, sekaligus menjadikan PDK ini sebagai ‘role model’ bagi mengaji al-Quran untuk OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Program Kolaborasi Kaedah Rumah Ngaji OKU Intelek Bersama PDK Kubang Kerian dan QuranOn, di sini, semalam dan turut hadir,  Timbalan Pengerusi PDK Kubang Kerian, USMKK, Prof Dr Mohamed Saat Ismail dan Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Dr Mohd Zulkifli yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kesihatan USMKK berkata, sistem bagi kaedah itu juga memberi persediaan kepada peserta OKU  dengan membolehkan mereka dapat mengelak perasaan malu atau berasa janggal semasa belajar.

Katanya, pihaknya turut mengalu-alukan masyarakat termasuk ibu bapa yang mempunyai aank-anak OKU supaya turut menyertai aktiviti yang dilakukan Rumah Ngaji OKU Intelek, malah bagi usaha mengembangkannya, PDK Kubang Kerian sudah memohon geran di bawah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan berharap ia diluluskan nanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas QuranOn, Muhammad Thoha Rasyid berkata, pihaknya mewujudkan ‘Formula Al-Hidayah QuranOn’ yang mana, anak-anak OKU diajar menguasai al-Quran dalam bentuk permainan interaktif.

“Penggunaan kad permainan QuranOn dalam kalangan peserta membolehkan mereka membaca pra kata demi pra kata, dengan membiasakan anak-anak OKU ini dengan permainan menyusun perkataan, tadabur al-Quran dan menguji hafalan serta bercerita.

Sinar Online

Comments