Home Tempatan Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan tak selesai masalah perpecahan

Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan tak selesai masalah perpecahan

SHARE

BANGI, 29 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Cadangan menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan yang bermatlamatkan membawa inisiatif baharu kepada perpaduan rakyat, tidak diyakini akan membawa sebarang perubahan.

Malah, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahyu Ab Aziz berkata, menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah hanya akan menpersulitkan lagi keadaan.

“Rukunegara itu sendiri kabur dan saya tak nampak ia sebagai hujah atau sebab yang kukuh untuk dimasukkan dalam Perlembagaan.

“Saya tak yakin Rukunegara, bila dimasukkan untuk menjadi mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan, akan mengukuhkan perpaduan. Saya tak rasa ia menyelesaikan masalah perpecahan.

“Integrasi itu boleh dilakukan melalui penghayatan dalam Perlembagaan itu sendiri. Masih banyak lagi cara lain untuk kita memperkukuhkan perpaduan, tetapi bukan dengan menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah Perlembagaan,” katanya pada Forum Sudut Pandang anjuran Arus Baru dan Media Isma yang diadakan di Bangi, malam tadi.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu percaya bahawa cadangan itu sememangnya diwujudkan untuk memperundangkan Rukunegara itu.

Keyakinan itu semakin menebal apabila beliau mempunyai peluang untuk bertanyakan sendiri pada Dr Chandra Muzaffar yang merupakan antara pendokong utama cadangan tersebut.

“Saya sendiri, apabila bertanya pada Dr Chandra Muzaffar apa tujuan cadangan tersebut, dia sendiri menyatakan untuk menjadikan ia mukadimah yang disahkan mengikut perundangan.

“Itu respon yang saya dapat semasa di RTM. Saya berada bersama Dr Chandra dan seorang lagi profesor dari UKM,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu menegaskan, terdapat pelbagai cara untuk membantu memperkukuhkan perpaduan antara rakyat dalam negara.

“Salah satunya ialah daripada didikan. Saya percaya sistem pendidikan boleh membantu untuk menambahkan perpaduan, memupuk nilai-nilai murni serta ilmu-ilmu untuk membina insan yang kamil.

“Seterusnya pemerkasaan serta pelaksanaan undang-undang seperti Akta Hasutan. Kita boleh pinda kanun keseksaan. Apa yang penting ialah menambah baik amalan Perlembagaan itu sendiri. Itu sudah cukup untuk menyatupadukan semua kaum dalam negara ini,” katanya

Comments