Home Tempatan Ronnie Ooi: Bukan Islam tentang Akta 355 sebab tidak faham

Ronnie Ooi: Bukan Islam tentang Akta 355 sebab tidak faham

SHARE

GEORGETOWN: Ketakutan terbesar orang bukan Islam terhadap Akta RUU 355 adalah disebabkan kerisauan jika pindaan undang-undang syariah itu dilaksanakan kelak, mereka akan dipaksa mengikut cara Islam, kata seorang doktor bersara bukan Islam, Dr Ronnie Ooi, bekas penganjur forum ‘Hudud or No Hudud’ yang telah diadakan bulan lepas.

Menurutnya, apa yang ditentang oleh masyarakat bukan Islam sebenarnya bukan sahaja Akta RUU 355, malah perkara yang lebih mereka takuti ialah jika undang-undang Islam akan terus dilaksanakan secara menyeluruh maka akan tersekatlah banyak kebebasan mereka nanti.

“Sebagai orang bukan Islam sudah tentu kami akan ragu-ragu kerana banyak aktiviti dan kebebasan dari ajaran agama kami nanti akan dilarang dan tersekat disebabkan di dalam Islam terlalu banyak larangan dan sekatan,” katanya.

Ditanya mengapa beliau merasa terpanggil untuk menganjurkan forum terbuka berkenaan, Ronnie memberitahu hal itu amat penting untuk bukan Islam sepertinya mendapat maklumat dengan lebih tepat berhubung pendirian PAS mengenai RUU 355 ini.

Menurut beliau, beliau sendiri secara peribadi belum menyokong sepenuhnya Akta RUU 355 ini kerana merasakan akta ini terlalu bertentangan dengan agama dan prinsip beliau sendiri. Namun menurutnya lagi, penentangan ini bukanlah sebagai musuh tetapi sebagai sahabat dan seorang rakyat yang belum sepenuhnya memahami perlaksanaan akta yang bersifat Islamik tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai pandangan beliau terhadap pindaan akta ini, beliau mendapati PAS kurang cekap dalam menerangkan perkara ini demi melerai kekusutan dan ketidakfahaman ini.

“Mereka tidak cekap menerangkan pendirian mereka kepada golongan profesional bukan Islam yang menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.

Bagaimanapun beliau tetap bersetuju, yakin dan faham bahawa Pindaan RUU 355 tidak ada kena mengena dengan golongan bukan Islam.

“Saya bersetuju serta amat yakin dan faham bahawa Pindaan Akta RUU 355 ini tidak ada kena mengena langsung dengan kami bukan Islam,” katanya.

Comments