Home Tempatan Rohingya: Pakistan puji usaha Malaysia

Rohingya: Pakistan puji usaha Malaysia

SHARE

KUALA LUMPUR 2 Mac – Pakistan memuji usaha Malaysia memperjuangkan dan menyalurkan misi bantuan kemanusiaan untuk etnik Rohingya di Myanmar yang ditindas.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Reza berkata, Islamabad yang turut mengecam penindasan tersebut menyokong penuh resolusi dicapai dalam sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada bulan lalu yang diadakan selepas dikemukakan oleh Kuala Lumpur.

“Dua tahun lalu, Pakistan menawarkan sejumlah dana kepada Malaysia bagi membeli beras untuk dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.

“Walau bagaimanapun, tawaran tersebut terpaksa dibatalkan selepas dimaklumkan bantuan itu perlu diserahkan kepada kerajaan Myanmar yang kemudian akan menyalurkan kepada masyarakat Rohingya,” katanya dalam majlis makan malam bersama media di sini, malam tadi.

Syed Hassan menambah, Pakistan bersedia menyokong penuh apa juga tindakan tegas ke atas Myanmar jika OIC memutuskan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, pada perkembangan lain, beliau memberitahu, Islamabad menyokong penuh usaha untuk membubarkan penggunaan visa perjalanan antara kedua-dua negara bagi meningkatkan industri perdagangan dan pelancongan.

“Ketika ini hanya ahli perniagaan menikmati kemudahan tersebut di bawah perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara.

“Pakistan bersedia untuk mengadakan pertemuan peringkat tertinggi antara kedua-negara bagi membincangkan perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

utusan online

Comments