Home Antarabangsa Roboh rumah sendiri elak bayar caj, denda

Roboh rumah sendiri elak bayar caj, denda

SHARE
SEORANG penduduk Palestin bertindak merobohkan sendiri rumahnya selepas menerima arahan pemusnahan daripada pihak berkuasa Israel yang mendakwa beliau membina rumah secara haram kerana tidak memiliki permit pembinaan. - Foto gulfnews.com

BAITULMAQDIS: Seorang penduduk Palestin bertindak merobohkan sendiri rumahnya selepas menerima arahan pemusnahan daripada pihak berkuasa Israel yang mendakwa beliau membina rumah secara haram kerana tidak memiliki permit pembinaan.

Penduduk Palestin di Baitulmaqdis jarang diberikan permit pembinaan oleh rejim Israel dan tiada pilihan lain kecuali membina rumah tanpa kebenaran demi menampung keluarga yang semakin membesar.

Lebih memburukkan keadaan, pihak berkuasa rejim Zionis turut mengenakan caj pemusnahan selain mendenda mereka kerana ‘jenayah’ itu.

Saleh Al Showaiki, juga seorang peguam, membuat keputusan menyakitkan meruntuhkan sendiri rumahnya untuk mengelakkan kos pemusnahan tinggi iaitu lebih US$20,000 (RM89,000) yang perlu dibayarnya.

Rumahnya di kawasan kejiranan Silwan terletak 280 meter dari bahagian selatan tembok Al Haram Al Sharif.

Ia dibina di atas tapak seluas 450 meter persegi yang diwarisi daripada bapanya sebelum Israel menceroboh wilayah itu pada 1967.

Pada 2008, beliau mengubah suai rumah itu, menambah dua bilik untuk memuatkan keluarga yang semakin bertambah.

“Saya tidak mahu membebankan anak saya. Saya memutuskan untuk mendirikan khemah di atas tapak rumah yang diruntuhkan dan tinggal di situ,” katanya yang tinggal bersama dua anaknya.

Menurut kumpulan penyokong hak asasi manusia Israel, B’Tselem, rejim Zionis meruntuhkan 88 rumah di Baitulmaqdis Timur pada 2016.

Penduduk Palestin berkata, proses pemusnahan adalah cubaan bersistematik oleh rejim Israel untuk memadamkan identiti Palestin dan Islam di Baitulmaqdis, yang terdesak dimahukan untuk dijadikan ibu negara wilayah itu. – GULF NEWS

Berita Harian

Comments