Home Tempatan RMP hanya akan keruhkan lagi keadaan, bukan menyatupadukan

RMP hanya akan keruhkan lagi keadaan, bukan menyatupadukan

SHARE

BANGI, 29 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Timbalan Pengerusi Ikatan Peguam-peguam Muslim Malaysia (iPeguam), Danial Ariff Shaari menegaskan, sekiranya gerakan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (RMP) berjaya, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan bukan menyatupadukan sepertimana matlamat yang mereka war-warkan.

“Dalam keadaan kita masih lagi nak memahami Perlembagaan, mereka nak kelirukan lagi. Mereka sendiri pun tak faham inisiatif ini. Adakah ia ideologi untuk menyatupadukan ataupun ideologi liberalisme.

“Saya lihat, bukan sahaja terdapat kecelaruan, malah kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada puak sekular dan liberal.

“Pakar Perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dalam satu kesimpulan kenyataan berkata, Rukunegara tidak akan menggugat ketuanan Melayu. Namun, berlainan pula aktivis liberal Zairah Anuar yang mengatakan dia menolak Malay Supremacy.

“Jadi di sini timbul persoalan, adakah mereka mempunyai fahaman yang sama ataupun bercanggah?

“Ini membuatkan kita bukan sekadar berhati-hati tetapi keras menolak kerana banyak percanggahan pendapat serta fahaman antara kalangan mereka sendiri,” katanya pada Forum Sudut Pandang anjuran Arus Baru dan Media Isma yang diadakan di Bangi, malam tadi.

Bahkan, beliau berkata, mereka yang memperjuangkan RMP ini sendiri tidak berpegang kepada apa yang ada dalam Perlembagaan.

“Rakyat Malaysia terlalu fikirkan terhadap apa yang memecahbelahkan, tetapi tak nak fokus kepada apa yang boleh menyatupadukan dalam Perlembagaan.

“RMP adalah tidak diperlukan kerana apa yang dinyatakan dalam Rukunegara sudah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Inisiatif yang diperkenalkan pada 23 Januari lalu, itu digerakkan Dr Chandra Muzaffar sebagai pengerusi.

Antara yang terlibat ialah aktivis liberal, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar, ahli akademik Prof Datuk Dr Tan Chong Tin dan Prof Madya Dr Medeline Berma, serta peguam, Firdaus Husni.

Tujuan penubuhan RMP adalah untuk menggerakkan usaha serampang dua mata bagi mendapatkan pungutan suara rakyat Malaysia melalui pengumpulan tandatangan serta berhajat mendapatkan sokongan Majlis Raja-Raja agar satu usul berkaitan usaha ini dapat dibentangkan di Parlimen.

 

Comments