Home Tempatan RM5 juta untuk CUEPACSCare: PM

RM5 juta untuk CUEPACSCare: PM

SHARE
DATUK Seri Najib Razak bersama Datuk Azih Muda melakukan gimik pelancaran CeupacsCare4u di Majlis Ceupacs Care Beneficiary yang diadakan di Dewan Perdana, menara MITI. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sumbangan RM5 juta kerajaan kepada skim perlindungan takaful CUEPACSCare tahun ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk berunding dengan Sun Life Malaysia Takaful Bhd dalam menentukan yuran caruman yang akan dikenakan.

Beliau berkata, skim CUEPACSCare boleh dijadikan alternatif kerana tumpuan penuh terhadap hospital dan klinik kerajaan dengan sendirinya akan meningkatkan tekanan kepada perkhidmatan serta bajet kerajaan.

“Hari ini saya nak menyatakan kerajaan akan terus membantu skim CUEPACSCare. Saya lihat ada cadangan nak naikkan lagi yuran (caruman) sebab kos kesihatan melambung begitu tinggi setiap tahun.

“Saya nak umumkan tahun ini kerajaan akan beri sumbangan RM5 juta kepada skim ini supaya kalau tidak naik (caruman) lagi baik, kalau naik pun sikit saja, tak mengapa, tak tinggi mana.

“Jadi saya serahkan kepada pihak CUEPACS untuk berunding dengan Sunlife Malaysia supaya dapat tentukan yuran (caruman) yang mungkin lebih rendah daripada apa yang dijadualkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan dan pelancaran CUEPACSCare4U, kempen mentakafulkan penjawat awam di sini, hari ini. Y

ang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Alim Hamsa dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

CUEPACSCare adalah program takaful kemasukan ke hospital dan pembedahan khusus untuk penjawat awam serta keluarga yang mula diperkenalkan pada 1999.

Ia menawarkan dua pelan perlindungan iaitu untuk keluarga dengan caruman bulanan sebanyak RM85 dan individu sebanyak RM32.

Berita Harian

Comments