Home Tempatan Ridhuan Abdullah, ‘Wanted’ Oleh MIC, Ganjaran RM5 Ribu

Ridhuan Abdullah, ‘Wanted’ Oleh MIC, Ganjaran RM5 Ribu

SHARE

Kuala Lumpur: Pemuda Kongres India Malaysia (MIC) masih mengekalkan tawaran ganjaran RM5 ribu kepada individu yang boleh memberi maklumat berkenaan bekas suami M Indira Gandhi, Ridhuan Abdullah dan anak bongsu mereka, Ummu Habibah.

Menurut The Malay Mail Online, Setiausaha Pemuda MIC, Arvind Kumar mendakwa, ganjaran RM5 ribu yang pernah ditawarkan pada tahun 2016 sebelum ini (kepada sesiapa yang mempunyai maklumat) masih kekal.

“Ya, ganjaran (yang ditawarkan) masih kekal.”

Ganjaran ini diumumkan selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Ridhuan yang mengingkari perintah mahkamah supaya memulangkan anak bongsunya, Ummu Habibah kepada bekas isterinya.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini tidak dapat melaksanakan perintah mahkamah selepas keputusan kes M Indira Gandhi antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Persekutuan bertentangan di mana Mahkamah Syariah memihak kepada Ridhuan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, usaha mengesan dan menangkap Ridhuan Abdullah sedang diteruskan dan siasatan mendapati Ridhuan masih berada dalam negara.

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan pengislaman ketiga-tiga anak M Indira Gandhi pada tahun 2009 oleh bekas suaminya, Ridhuan Abdullah adalah tidak sah dan terbatal sekaligus mengecewakan umat Islam.

Comments