Home Antarabangsa Restoran cetak mesej sokong pendatang di resit

Restoran cetak mesej sokong pendatang di resit

SHARE
CEF terkenal, Mark Simmons. - Foto Getty Images

NEW YORK: Cef terkenal, Mark Simmons, tidak teragak-agak untuk berkongsi pendirian dengan semua pelanggan restorannya berhubung arahan eksekutif Presiden Donald Trump mengenai pendatang.

Simmons yang juga bekas peserta rancangan Top Chef: Chicago musim keempat, memaklumkan pelanggannya bahawa hidangan yang mereka nikmati disediakan golongan pendatang.

Beliau yang memiliki restoran Kiwiana, bertemakan negara kelahirannya, New Zealand turut mengingatkan pelanggan hidangan itu disajikan golongan pendatang.

“Golongan pendatang membuatkan Amerika hebat (mereka juga memasak makanan anda dan menghidangkannya hari ini),” kenyataan yang tertera pada resit yang dikeluarkan restoran di Brooklyn itu kepada pelanggannya.

Resit itu dimuat naik wartawan NBC News, Mary Emily O’Hara di Twitternya.

Gambar itu menjadi viral di media sosial dan dikongsi 79,000 pengguna Twitter dengan lebih 220,000 menekan butang ‘suka’.

“Saya sendiri adalah pendatang, saya dari New Zealand. Ini adalah restoran New Zealand dan kami menyokong pendatang,” kata Simmons kepada Mashable, Isnin lalu seperti disiarkan laman YAHOO.

Beliau berkata, ia adalah caranya menyatakan sokongan kepada keluarga yang berpecah belah akibat arahan itu.

Simmons berkata: “Saya tahu ujian dan seksaan yang terpaksa dihadapi seorang pendatang, tanpa memiliki apa-apa, saya bekerja keras untuk memajukan diri saya”.

Ketika diminta mengulas mengenai tempoh mesej itu akan dicetak di resit pelanggan, katanya, ‘sehingga diberitahu kelak’ atau sehingga keadaan menjadi lebih baik.

Pada 27 Januari lalu, Trump menandatangani arahan eksekutif yang mengenakan larangan sementara terhadap rakyat dari tujuh negara majoriti Islam daripada masuk ke AS.

Berita Harian

Comments