Home Tempatan Resolusi diserahkan kepada Agong

Resolusi diserahkan kepada Agong

SHARE

KUALA LUMPUR 5 Mac – Resolusi yang dimuktamadkan hari ini hasil daripada sidang meja bulat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan dise­rahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Majlis Raja-raja selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, resolusi itu yang menolak cadangan pihak-pihak tertentu untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Negara akan diperhalusi serta diteliti dari segi penggunaan ayat yang sesuai sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, selain itu, resolusi berkenaan juga akan diserah­kan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri Kabinet, Gabenor, ahli Parlimen serta orang awam.

“Kita menolak sama sekali cadangan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan.

“Kami meminta mereka yang menggerakkan usaha ini agar menghentikannya kerana le­bih baik mereka menumpukan usaha kepada bagaimana untuk memperkasa Rukun Negara dalam kalangan masyarakat termasuk mengaplikasikannya dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Meja Bulat Perkasa bertajuk Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Negara?, di sini, hari ini.

Ketika ini, Perlembagaan di 160 negara memiliki mukadimah manakala Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang mukadimah, sebalik­nya bermula dengan peruntukan substantif.

Menurut Ibrahim, Perkasa akan menggerakkan usaha untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengapa cadang­an itu perlu ditolak.

“Cadangan ini hanya akan menyebabkan rakyat bertambah keliru dan lebih baik kumpulan yang mengusulkan perkara ini memberi tumpuan kepada hal-hal lain yang boleh mendatangkan faedah kepada negara,” katanya.

Utusan Malaysia

Comments