Home Tempatan Rebut peluang di Rumah Ngaji

Rebut peluang di Rumah Ngaji

SHARE
Salbiah dan pelajar menunjukkan al-Quran yang diterima pada Majlis Perasmian Rumah Ngaji @ Bandar Baru Ampangan.

RUMAH Ngaji Bandar Baru Ampangan di Seremban menjadi satu-satunya Rumah Ngaji di negeri ini memiliki bangunan sendiri berbanding lokasi lain yang menjadikan masjid, surau dan pejabat sebagai tempat pembelajaran.

Terletak di Bangunan Uda, Ampangan, premis tiga tingkat itu diwakafkan keluarga Penyelaras Rumah Ngaji Peringkat Negeri Sembilan, Gharizah Hashim, bagi tujuan kelas mengaji dan pembelajaran asas al-Quran.

Pengurus Rumah Ngaji Bandar Baru Ampangan, Mahmud Riadzi Hashim berkata, kelas mengaji dijalankan percuma itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat.

“Ada tiga sesi pembelajaran iaitu sesi pagi bermula jam 9.30 pagi hingga 11 pagi. Manakala bagi sesi petang jam 2 petang hingga 3.30 petang pada Sabtu sahaja. Bagi sesi malam bermula jam 9 hingga 10.30 malam, diadakan pada Isnin dan Rabu sahaja.

“Pelajar perlu menghadiri sekurang-kurangnya dua kelas dalam seminggu. Kita akan bimbing mereka dari buta huruf sehingga boleh mengaji,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas mengaji tersebut boleh menghubunginya di talian 019-2774112 atau Gharizah 017-6782144 untuk pertanyaan lanjut.

Kelas yang bermula sejak Oktober lalu itu kini mempunyai 100 pelajar terdiri daripada pelbagai golongan usia.

Ia dirasmikan Yang Dipertua Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin pada satu majlis, petang kelmarin.

Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin.

Sinar Online

Comments