Home Tempatan Realisasikan bandar raya Islam

Realisasikan bandar raya Islam

SHARE
Zamri Ismail

MEREALISASIKAN Kota Bharu sebagai bandar raya Islam adalah usaha yang memerlukan titik sentuhan terbaik tanpa meletakkan tanggungjawab kepada Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) semata-mata untuk dijayakan.

Sesungguhnya, ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka. Begitu halnya dengan usaha dibuat MPKBBRI, banyak dilabur dan diperuntukkan bagi mencapai matlamat murni mereka ini.

Ikuti cabaran dan juga usaha mahupun pendekatan yang dilakukan oleh MPKBBRI untuk menjayakan matlamat tersebut menerusi temu bual wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM bersama Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Apa peranan dimainkan MPKB-BRI untuk jadikan Kota Bharu bandar raya Islam?

Kota Bharu menjadi destinasi tumpuan dengan adanya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Apa sahaja yang berlaku di Kota Bharu akan menjadi tumpuan.

Bertepatan juga  hasrat kerajaan negeri mengamalkan konsep Membangun Bersama Islam yang menjadi tarikan, maka antara agenda utama pelaksanaan syariah dalam negeri ini dibawa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ke arah merealisasikannya, MKPB-BRI, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam menjadi sebahagian pengantara dengan kerajaan.

Falsafah diguna MPKB-BRI adalah menjadikan bandar raya ini patuh syariah berdasarkan konsep lima K, iaitu Keilmuan, Kepatuhan, Kebajikan, Kebersihan dan Kesejahteraan.

Sehubungan itu, PBT merangka sebaik mungkin perkara itu dengan menubuhkan sekretariat Bandaraya Islam setelah dilancar secara rasminya 2005 oleh Sultan Kelantan.

Apa inisiatif dilakukan sekretariat?

Antara inisiatif dilakukan ialah mengarah pekerja wanita di restoran dan pasar raya menutup aurat. Selain itu, di pasar malam pula, apabila masuk waktu Maghrib dan Isyak, aktiviti jual beli dihentikan seketika untuk solat.

MPKB-BRI juga mewujudkan pegawai yang boleh memberi kaunseling kepada remaja dalam bidang sosial menerusi unit Jabatan Pembangunan Islam. Kita juga ada rakan belia, rakan berniaga yang mana ia digabungkan dalam konsep bandar raya ini.

Bagaimana pula usaha dalam aspek kebersihan. Kita sedia maklum di PBT Kota Bharu, perkara ini masih belum selesai.

Kebersihan memang diutamakan Islam tetapi apabila merujuk kepada bandar ini, masih ada lagi lokasi yang memerlukan usaha bersungguh-sungguh masyarakat dan kita. Walaupun ada pelan strategik dari 2005 hingga 2015 namun tidak akan berjaya tanpa usaha bersama.

Tetapi kadang-kadang masyarakat masih anggap aspek kebersihan dan pembudayaan membersihkan bandar ini  tugas MKPB-BRI. Masih ada anggap kutip sampah kerja MPKB-BRI, jadi mereka rasa tidak bertanggungjawab. Sedangkan kita sediakan jadual kutipan dan laluan tertentu mengikut zon.

Apakah faktor mengekang usaha ini?

Kadang kala, MPKB-BRI mempunyai halangannya, antaranya berkaitan usaha menswastakan konsesi pembersihan sejak 1998 tidak berjaya. Perkara ini berlarutan sehingga 2014 untuk membawa masuk Alam Flora, juga tidak berjaya.

Akhirnya, kerajaan negeri setuju menggunakan Akta 672, yang mana kerajaan negeri akan menswastakannya iaitu Alam Flora diberikan hak konsesi, tetapi tidak berjaya juga sampai ke hari ini sehinggalah MPKB-BRI ambil keputusan menswastakan mengikut cara sendiri.

Pun begitu, harapan kita cukup tinggi kepada masyarakat supaya bersama berganding bahu bantu tugas MPKB-BRI. Kita minta masyarakat buang sampah dalam tong, letak di tempat disediakan manakala sampah di rumah perlu dibuang mengikut jadual kutipan.

Sepatutnya orang ramai boleh bawa keluar sampah dari kediaman masing-masing antara jam 6 petang hingga 9 malam sahaja. Selepas waktu itu kita perlu simpan dahulu sampah di rumah supaya tidak menampakkan terlalu banyak longgokan dan mencemarkan pemandangan.

Usaha terbaru dengan mewujudkan jawatankuasa khas untuk melestarikan kebersihan di PBT Kota Bharu melibatkan tenaga ilmiah Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Malaysia menerusi kertas kerjanya.

Rumusan diperoleh adalah, kita perlu bergerak secara holistik, bermula di sekolah dan rumah. Kalau setakat PBT mengadakan gotong-royong, ia tidak menjadi.

Masalah sampah lebih ketara pada musim perayaan sehinggakan berlaku lambakan. Bagaimana mengatasi perkara ini?

Sebagaimana diterangkan, apabila kita berhasrat melaksanakan penswastaan, maka kemudahan kenderaan mahupun sumber tenaga pekerja juga tidak diganti sehingga ia dilaksanakan.

Secara mudahnya, bila keadaan itu berlaku, dengan kenderaan yang tidak cukup dan jentera yang ada pun rosak, maka berlakunya lambakan sampah.

Kita tengok lambakan ini amat luar biasa di Kelantan. Berdasarkan kajian pada hari biasa, selalunya kita perlu kutip antara 350-400 metrik tan sehari, tetapi  apabila musim puasa dan perayaan, ia mencapai sehingga 700 metrik tan sehari.

Mungkin ekonomi di negeri ini, kuasa beli rakyatnya tinggi. Kalau kita cukup lori dan orang tidak ada masalah. Kebetulan bila Ramadan dan hari raya lalu, Syarikat BUJ bantu kutip sampah di Zon C .

Apakah langkah segera MPKB-BRI?

Mungkin isu penswastaan ini hampir selesai, sebelum mendapat keputusan itu, MPKB-BRI menyewa lori. Dan langkah kita menswastakan Zon C  juga mengurangkan beban kakitangan, yang mana mereka boleh menumpukan kerja pembersihan dan pengindahan di Zon A dan B.

MPKB-BRI juga menghadapi masalah dengan jarak tempat pelupusan sampah yang jauh di Bachok. Ia mengambil masa dua jam ulang-alik. Jadi kita merancang mewujudkan pusat pemindahan terdekat sebelum dikumpulkan di Bachok.

Masyarakat juga perlu dididik, kita bercadang mengagihkan video kepada setiap orang, meletakkan di masjid, di pasar.

Kota Bharu tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa. Apakah usaha yang dilakukan untuk menarik lebih ramai pengunjung dan menjamin keselesaan?

Kita berusaha mengindahkan bandar Kota Bharu. Kita juga akan menyediakan Senarai Wajib Lawat di Kota Bharu. Malah kita akan wujudkan juga pakej.

Di bandar juga ada disediakan kemudahan laluan jalan kaki di Jalan Dato’ Pati. Kita juga tumpukan program bandar sejahtera dan sediakan laluan untuk orang bermasalah penglihatan (mesra OKU).

Kita beri perhatian yang cukup baik sehingga timbulnya idea mengenakan caj kepada pelancong yang menginap di hotel, antara tujuannya adalah wang itu dapat digunakan menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan.

Ia sudah dilaksanakan dan mendapat kebenaran kerajaan negeri tahun lalu serta dipersetujui untuk dilaksanakan 1 Ogos lagi. Bagaimanapun, kerana permohonan penangguhan daripada persatuan hotel dan juga persatuan pelancongan, maka kita mulakan 1 Januari ini. Caj RM3 per bilik dikenakan bagi hotel bertaraf tiga bintang ke atas.

Untuk naik taraf pelancongan di Kelantan memang kita turut mendapat peruntukan Kementerian Pelancongan. Tetapi bayaran yang dikenakan itu akan digunakan untuk buat sebarang kerja baik pulih atau naik taraf dalam tempoh segera.

Bahkan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan mahupun cara menambat hati pelancong, MPKB-BRI juga memperbanyakkan seminar mahupun kursus melibatkan peniaga termasuk juga pemain industri pelancongan.

Selain itu, terdapat juga perancangan menaik taraf sungai termasuk Pengkalan Datu. Kita akan bincangkan secara serius perkara ini. Ada lapan pakej yang dirancang di lembangan Sungai Pengkalan Datu ini. Dengan adanya Bandar Warisan, budaya dan pelbagai lagi berpotensi dijayakan.

Program Ihya’ Ramadan inisiatif mencerminkan keislaman bertepatan dasar kerajaan Membangun Bersama Islam. Sejauh mana sambutan program?

Program Ihya Ramadan di negeri Serambi Mekah adalah acara tahunan kerajaan Kelantan diuruskan MPKB-BRI sejak 1993, yang mana konsepnya menyediakan kemudahan tempat beribadat selama sebulan. Dataran Stadium menjadi pilihan dan dikenali Madinah Ramadan.

Di sini, hampir 2,000 orang boleh beribadat, solat fardu, mengerjakan solat tarawih, bertadarus, qiamullail, dan berbuka puasa secara percuma beramai-ramai. Kita juga laksanakan ceramah dan penyampaian sumbangan kepada golongan layak. Sambutannya cukup baik dari semua lapisan termasuk masyarakat tempatan dan penduduk di luar Kelantan termasuk pelawat dari seluruh Malaysia.

Pada September 2013, program mendapat anugerah daripada Tourism Promotion Organization (TPO) Korea Selatan sebagai Anugerah Festival Terbaik 2013 bagi peringkat Asia Pasifik. Anugerah ini diberikan berdasarkan kekuatan, kemeriahan dan pengunjung yang melebihi 3,000 orang pada satu  masa.

Kita akan menambah pelbagai lagi kelainan pada tahun ini dengan menyediakan kelas pengajian al-Quran intensif bermula 1 hingga 30 Ramadan dan terbuka kepada semua golongan masyarakat.

Anggaran perbelanjaan melibatkan makan minum, sagu hati Imam Mesir, bayaran utiliti air, elektrik, sewaan peralatan siar raya, khemah dan pelbagai lagi dianggarkan RM1.5 juta.

Selain peruntukan tetap kerajaan negeri Kelantan, MPKB-BRI mengalu-alukan derma menerusi akaun Bank Muamalat: Tabung  Ihya’ Ramadan (0301-000-5757-713). Sumbangan peralatan mahupun makanan juga dialu-alukan

Sinar Online

Comments