Home Tempatan Ratifikasi Segera ICERD – Gabungan 16 NGO Pro-ICERD

Ratifikasi Segera ICERD – Gabungan 16 NGO Pro-ICERD

SHARE

Sisters In Islam (SIS) dan Komuniti Muslim Universal (KMU) antara beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mengeluarkan kenyataan tegas baru-baru ini, supaya pihak kerajaan segera meratifikasikan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum). Sebanyak 16 pertubuhan bukan kerajaan secara bersama mengeluarkan kenyataan tersebut.

ICERD, yang mendapat bantahan meluas umat Islam dan satu perhimpunan aman besar-besaran telah dirancang akan diadakan pada 8 Disember 2018 ini, disokong penuh oleh kumpulan ini atas beberapa pendirian yang dinyatakan di dalam kenyataan media tersebut.

Dakwa mereka, sebab pertama kerajaan perlu meratifikasi ICERD adalah, ICERD bukan sahaja sesuai dengan Islam, bahkan sesuai dengan banyak agama dan ajaran. Ini dapat dilihat berdasarkan negara-negara di bawah OIC seperti Jordan, Palestin dan Arab Saudi yang telah meratifikasi ICERD.

Menggunakan Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W sebagai hujah, kumpulan-kumpulan ini berkata bahawa Nabi Muhammad mengecam sifat perkauman.

“Ramai yang percaya bahawa meratifikasi ICERD akan menjejaskan kedudukan Islam. Yang sebenarnya, Nabi Muhammad mengecam sifat perkauman. Khutbah Terakhir Nabi Muhammad pada 9 Zulhijjah 10 AH (9 Mac 632) di Gunung Arafah menekankan bahawa Islam menentang sebarang bentuk diskriminasi kaum tidak kira sama ada mereka daripada kalangan Muslim ataupun tidak.”

Yang kedua menurut kumpulan-kumpulan pro-ICERD ini, ICERD langsung tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ramai yang salah faham bahawa dengan meratifikasi ICERD, Perkara 153 akan dibuang sebaik sahaja ICERD mencapai objektifnya. Akan tetapi, Perkara 153 sebenarnya selaras dengan matlamat ICERD. Ia hanya bertentangan apabila peruntukan Perkara 153 (disalah)tafsirkan sebagai menjaga “hak-hak orang Melayu” dan “Bumiputera”. Sebaik sahaja komuniti-komuniti yang pernah ditinggalkan menikmati hak sama rata, maka barulah Perkara 153 memenuhi objektifnya.”

Sebab ketiga, ICERD tidak akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Sultan-Sultan.

“Orang ramai dipengaruhi untuk percaya bahawa ICERD akan menjejaskan kuasa-kuasa golongan monarki. Yang sebenarnya, ICERD mengiktiraf konsep “kesamarataan substantif” dalam Artikel 2(2) di mana dalam situasi yang bersesuaian, kerajaan boleh mengambil langkah-langkah khas dan konkrit untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang mencukupi untuk kumpulan-kumpulan kaum atau individu-individu tertentu; maka integriti Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dilindungi.”

Malangnya menurut mereka, kerana mitos-mitos dan salah faham yang dibawa oleh golongan yang disifatkan sebagai ektremis dan rasis, orang ramai dipengaruhi untuk menentang ICERD. Gabungan NGO tersebut turut merakamkan, akibat daripada kegagalan mengurus isu ini, telah menyebabkan timbul isu-isu berbangkit.

Pengumuman Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan ICERD tidak akan diratifikasikan, ialah satu langkah ke belakang untuk Malaysia Baharu yang lebih inklusif, moderat dan dihormati secara global. Kerajaan Pakatan Harapan digambarkan sebagai telah tunduk kepada gesaan kumpulan penentang ICERD.

Comments