Home Antarabangsa Rakhine bergolak lagi

Rakhine bergolak lagi

Pasukan keselamatan Myanmar cetuskan keganasan, etnik Rohingya panik

SHARE
GAMBAR tidak bertarikh merakamkan pasukan keselamatan Myanmar berkumpul di sebuah kawasan di Maungdaw.

NAYPIDAW 28 Jun – Pasukan Keselamatan Myan­mar kembali mencetuskan keganasan di Maungdaw Uta­ra, Rakhine pagi semalam menjadikan situasi semasa di negeri itu kembali bergolak dan mencetuskan panik dalam kala­ngan penduduk Rohingya.

Portal Rohingya Blogger yang memetik laporan sumber yang boleh dipercayai berkata, beberapa orang dikhuatiri terbunuh dengan kebanyakan penduduk lain cedera.

Ia berlaku selepas pasukan kese­lamatan gabungan polis pengawal sempadan dan tentera bersama ratusan pelampau Rakhine yang menggunakan senjata tajam membuat serbuan ke atas kampung Kyun Pauk Pyu Zuu di bawah mukim Taung Pyo di utara Maungdaw, pagi semalam.

Bimbang diserang dan ditahan secara rawak oleh pasukan keselamatan dan pelampau Rakhine, penduduk kampung kira-kira 1,000 orang melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran.

Namun mereka hanya masuk perangkap pasukan keselamatan Myanmar yang sedia menunggu penduduk dengan 500 orang sahaja berjaya melarikan diri manakala selebihnya ditangkap.

“Beratus-ratus pelampau Rakhine bersenjatakan parang kini menuju kampung Kiam Mong (Kyun Pauk Pyu Zuu) bagi menye­rang penduduk kampung.

“Tentera dan polis sempadan Myanmar pula menyokong penuh tindakan itu walaupun mereka sepatutnya mengekalkan keselamatan dan kestabilan di negeri ini semasa Hari Raya Aidilfitri, penduduk menjadi panik dan ketakutan.

“Situasi semasa tidak menen­tu, penduduk kini melarikan diri,” kata seorang lelaki Rohingya di Maungdaw Utara yang tidak mahu namanya didedahkan.

Dalam pada itu, terdapat laporan empat lelaki Rakhine dise­rang sekumpulan lelaki Rohingya yang bersenjatakan pedang pada Sabtu lalu dipercayai menjadi punca kepada keganasan terbaharu itu.

Pasukan keselamatan jelas cuba menghasut penduduk tempatan Rakhine menentang penduduk Rohingya sekali gus mencetuskan keganasan ke atas etnik tersebut.

Ketika individu yang menye­rang empat lelaki Rakhine masih belum dikenal pasti, tindakan balas ke atas penduduk kampung Kyun Pauk Pyu Zuu jelas berdasarkan tanggapan penyerang adalah daripada etnik Rohingya kerana serangan berlaku tidak jauh dari perkampungan tersebut.

Dalam perkembangan ber­kai­­­­tan, agensi berita Reuters me­la­porkan tentera Myanmar dalam kea­daan bersiap sedia hari ini selepas hampir 200 penduduk Buddha di beberapa perkampungan di negeri itu melarikan diri dari tempat tinggal mereka ekoran insiden pembunuhan dan bimbang diserang pemisah Rohingya.

Ketua Menteri Rakhine, Nyi Pu dan pegawai kanan kerajaan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan menge­nai penduduk kampung yang melarikan diri selain langkah pengawal sempadan di Bangladesh yang turut meningkatkan tahap siap sedia mereka.

Pertempuran di Rakhine me­ningkat sejak penghujung November lalu namun ketegangan kembali bertambah sejak beberapa minggu lalu selepas seorang ketua kampung dibunuh, dengan tentera membunuh tiga orang penduduk semasa membersihkan sebuah kem pemisah Ro­hingya, minggu lalu.

Akhbar Global New Light of Myan­mar melaporkan, seorang penduduk kampung di utara Rakhine ditikam semasa bersembahyang pada hujung minggu lalu ekoran satu serangan berasingan ke atas ketua kampung oleh kira-kira 10 penyerang bertopeng yang menikam pemimpin itu sehingga mati pada 17 Jun lalu.

“Pembunuhan itu berlaku pa­da hujung minggu dan situasi bertambah buruk. Sebuah kumpulan bertopeng hitam membunuh ke­tua kampung yang rapat de­ngan kerajaan sekali gus menjadikan penduduk panik dan kami turut berada dalam ke­adaan siap sedia,” kata Ketua Polis Rakhine, Sein Lwin.

Sein Lwin dan sumber tentera di kawasan itu berkata, pasukan ke­selamatan menjangkakan serangan terbaharu oleh kumpulan pemisah ke atas tentera selepas Ramadan yang berakhir hanya semalam di Myanmar. – AGENSI

UTUSAN ONLINE

Comments