Home Tempatan Rakaman CCTV: Pelajar Mati Gantung Diri Dirakam Curi Telefon?

Rakaman CCTV: Pelajar Mati Gantung Diri Dirakam Curi Telefon?

SHARE
Nibong Tebal, Pulau Pinang: Sumber polis mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah yang diperoleh menunjukkan pelajar perempuan, M Vasanthapiriya, 14, yang maut kerana menggantung diri baru-baru ini, mengambil telefon bimbit milik gurunya, lapor MyMetro.   

Menurut sumber, guru berkenaan telah melihat rakaman CCTV sekolah dan bertanyakan perkara terbabit kepada pelajar berkenaan, namun mendiang Vasanthapiriya enggan mengaku akan perbuatan tersebut.

Pelajar SMK Methodist, Nibong Tebal itu juga turut dipanggil oleh empat guru sebelum dituduh mengambil iPhone milik seorang guru berkenaan.

Namun, pelajar berkenaan tidak mengaku melakukan perbuatan itu dan meninggalkan sekeping nota untuk kedua ibu bapanya dengan mendakwa bahawa dia tidak mencuri telefon bimbit tersebut sebelum bertindak menggantung dirinya pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun, pihak polis enggan mengulas lanjut perkara itu kerana ia boleh mengganggu siasatan sebaliknya, meminta semua pihak menunggu proses inkues.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan diberitahu bahawa pelajar yang menggantung diri itu pernah mengelar tangannya sendiri dua tahun lepas.

“Berdasarkan laporan kaunseling, pihak sekolah telah menasihati keluarga pelajar terbabit agar Vasanthapiriya diberikan bantuan perubatan. Malangnya, mereka tidak menghantarnya untuk rawatan seperti yang telah disarankan.” katanya menurut The Malaysian Insight.

Walau bagaimanapun, bapa pelajar tersebut, R Muniandy, menafikan dakwaan bahawa anak perempuannya mempunyai masalah kesihatan mental serta rekod kecederaan diri.

“Anak saya seperti kanak-kanak biasa dan sebagai ibu bapa saya pasti tahu sama ada dia menghadapi sebarang masalah kesihatan mental,” katanya.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas bertarung nyawa lebih seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas melakukan cubaan membunuh diri di rumahnya.

Comments