Home Tempatan ‘Raja Bomoh’ akan dipanggil jelaskan ritual perbomohannya – Jamil Khir

‘Raja Bomoh’ akan dipanggil jelaskan ritual perbomohannya – Jamil Khir

SHARE
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (empat, kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tiga, kiri) selepas sidang media Pra Pelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Seri Negeri Ayer Keroh hari ini. Turut hadir (dari kiri) Mufti Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin. - FotoBERNAMA

MELAKA 21 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ‘Raja Bomoh Malaysia’ akan dipanggil untuk siasatan berhubung ritual perbomohannya baru-baru ini.

Bomoh tersebut dengan nama sebenar Ibrahim Mat Zin akan diminta memberi keterangan mengenai ritual terbarunya yang tular di laman sosial, kata beliau.

Jamil menyatakan demikian pada sidang akhbar di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Rakaman video yang tular menunjukkan Ibrahim bersama pengikutnya membawa buluh kecil sebagai teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh di tepi pantai.

Menurut bomoh itu ritual itu bertujuan memohon keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara, selain bertujuan melindungi negara ini.

Seorang mufti menyifatkan perbuatan bomoh berkenaan sebagai tahyul dan tidak diiktiraf oleh Islam.

Beliau berkata pihaknya mengambil tindakan dengan memanggil Ibrahim untuk siasatan lanjut, namun pada masa ini pihaknya masih belum memutuskan sama ada individu itu terkeluar daripada garis panduan itu.

“Kita akan panggil dan tanya dia (Ibrahim) kenapa dia mengambil tindakan demikian,” kata beliau.

Terdahulu beliau menghadiri sidang akhbar sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata Ibrahim akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung upacara perbomohanya itu.

Jamil Khir berkata, masyarakat perlu faham bahawa semua perkara yang bercanggah dengan Islam adalah tidak dibenarkan dan garis panduan perubatan Islam itu perlu dijadikan sebagai panduan orang ramai. – BERNAMA

utusan online

 

Comments