Home Tempatan Raja Arab Saudi lawat Malaysia bincang urusan haji

Raja Arab Saudi lawat Malaysia bincang urusan haji

Raja Salman akan diringi 200 pemimpin industri dan ahli perniagaan Arab Saudi yang akan menghadiri forum pada 28 Feb di Kuala Lumpur.

SHARE

PUTRAJAYA: Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi akan melakukan lawatan negara ke Malaysia dari 26 Feb hingga 1 Mac, dengan perkara berkaitan haji dan kuota di samping memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan, akan menjadi agenda utama.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata lawatan negara sulung ke Malaysia oleh Raja Salman, yang menaiki takhta pada 23 Jan 2015, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau berkata kali terakhir Raja Arab Saudi melawat Malaysia adalah pada 2006 oleh Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Raja Faisal Abdulaziz al-Saud melakukan lawatan negara ke Malaysia pada 1970.

Bercakap kepada pemberita berhubung lawatan Raja Salman, Anifah berkata hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi adalah kukuh.

“Terdapat hubungan peribadi yang akrab antara Kerabat Diraja Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia. Arab Saudi dan Malaysia memperluaskan asas hubungan kedua-dua negara dengan mempertingkatkan kerjasama dalam politik, ekonomi, pertahanan dan hal ehwal haji,” katanya.

Raja Salman akan diiringi delegasi 600 anggota terdiri daripada kerabat diraja dan menteri, kata Anifah.

Baginda akan turut membawa bersama 200 pemimpin industri dan ahli perniagaan yang akan menghadiri forum perniagaan pada 28 Feb di Kuala Lumpur, katanya.

“Kami mengharapkan lawatan yang produktif, dan banyak perkara diberi peluang untuk dibincangkan secara jujur dan meyakinkan,” katanya.

Arab Saudi merupakan rakan dagang ke-2 terbesar Malaysia di Timur Tengah, dan perdagangan antara kedua-dua negara menyaksikan peningkatan 19.8% tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dan kini berjumlah RM13.12 bilion.

Hampir 60% daripada jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi adalah berkaitan produk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, jentera, peralatan dan perlengkapan, makanan diproses serta produk elektrik dan elektronik, katanya.

“Bagaimanapun, masih ada banyak skop untuk diperluaskan,” kata Anifah.

Menyentuh tentang kerjasama selanjutnya, Anifah berkata Malaysia melihat kerjasama lebih akrab untuk dijalin dengan Arab Saudi, antara lain, dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan tinggi, latihan dan bina upaya.

Di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang ditadbir Kementerian Luar, beliau berkata 81 pegawai kerajaan Arab Saudi mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia.

Mengenai pelancongan, Anifah berkata ia merupakan satu lagi sektor yang berbaloi untuk diteroka dan diperluaskan berikutan jumlah kedatangan pelancong Arab Saudi ke Malaysia melonjak hampir 24% tahun lepas.

“Ini menjadikan Arab Saudi pasaran utama pelancongan bagi Malaysia dalam kumpulan Asia Barat,” katanya.

Pelaburan antara Malaysia dan Arab Saudi ketika ini berada pada tahap yang mantap, kata Anifah.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas, pelaburan Malaysia dipelbagaikan dan kita kini menyertai sektor lain, selain industri berkaitan haji,” katanya.

Anifah berkata Malaysia adalah negara pertama dalam lawatan Raja Salman ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015.

Beliau berkata upacara sambutan rasmi akan diadakan di Dataran Parlimen pada hari keberangkatan tiba Raja Salman pada Ahad, yang akan disusuli dengan kunjungan baginda ke atas Yang di-Pertuan Agong pada hari sama.

Raja Salman turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada hari berikutnya, dan diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Universiti Malaya akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Raja Salman pada Isnin manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik pada Selasa,” katanya.

Anifah berkata Raja Salman turut berkenan menerima menghadap mufti dari semua negeri di Malaysia untuk membincangkan perkara berkaitan Islam.

Free Malaysia Today

Comments