Home Tempatan Rai Hari Guru demi perpaduan

Rai Hari Guru demi perpaduan

SHARE

JOHOR BAHRU 14 Mei – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 seharusnya diraikan setiap warga pendidik sebagai salah satu komponen bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, golongan pendidik di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum harus dilihat membawa semangat perpaduan dalam negara.

“Sebab itulah tema sambutan Hari Guru pada tahun ini kita masih kekalkan, iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

“Tidak kira sama ada guru itu adalah Melayu, Cina, India, bumiputera atau etnik lain, mereka boleh bawa kepada keberkesanan perpaduan dalam negara,” katanya dalam program Menteri Pendidikan Bersama Warga Pendidik dan Komuniti-Yok Ngeteh di Maktab Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif.

Mahdzir berkata, kementeriannya menolak sekeras-kerasnya pendekatan ekstremis yang wujud dalam kalangan segelintir ahli masyarakat kerana tindakan itu boleh memecahkan perpaduan kaum.

“Kita tidak mahu wujud ekstremis dalam semua kaum tidak kiralah Melayu, Cina, India atau etnik-etnik lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan pelbagai program sempena sambutan Hari Guru yang diadakan di negeri ini.

Katanya, pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan sejak 30 April lalu hingga hari perasmian sambutan itu pada Selasa ini.

UTUSAN ONLINE

Comments