Home Tempatan Rafizi Perlu Meminta Maaf Kerana Memfitnah Mahkamah Syariah – Tuan Ibrahim Deris

Rafizi Perlu Meminta Maaf Kerana Memfitnah Mahkamah Syariah – Tuan Ibrahim Deris

SHARE

PUTRAJAYA: Dakwaan berbaur fitnah yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli terhadap amalan rasuah di kalangan Hakim Syarie mampu menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap Institusi Kehakiman dan Mahkamah Syariah, kata Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Tuan Ibrahim Deris.

Menurutnya, PPSM berpendirian tegas terhadap sikap tidak bertanggungjawab Rafizi tersebut yang nyata tersasar, melulu dan jauh menyimpang daripada kebenaran.

Beliau berkata, PPSM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menaungi pegawai-pegawai di bawah skim perkhidmatan Pegawai Syariah seluruh Malaysia termasuk Hakim-Hakim Syarie, telah bermesyuarat semalam bagi melihat perkara ini yang dianggap begitu serius di kalangan umat Islam.

Beliau memaklumkan, pihaknya merujuk kepada isu berkenaan daripada klip video tular pada 12 April 2017 lalu berkenaan suatu ucapan oleh Rafizi sendiri pada minit ke 29 yang menyatakan;

“Kalau dilihat kepada rekod Hakim yang ditangkap dan ditahan kerana rasuah, kita boleh tengok sendiri sebenarnya Hakim Mahkamah Syariah lebih tinggi berbanding dengan Hakim Mahkamah Sivil,” kata Rafizi.

Ibrahim Deris berkata, kenyataan yang dikeluarkan ini tidak mempunyai fakta yang kukuh dan tepat dan amat malang sekali ia diucapkan oleh seorang Ahli Parlimen yang sepatutnya berhujah menggunakan fakta, bukan emosi dan sikap melulu.

Menurutnya, PPSM membantah sekeras-kerasnya kenyataan tersebut kerana berdasarkan rekod semenjak jawatan “Hakim Syarie” diwujudkan pada tahun 90an, hanya terdapat satu kes sahaja yang melibatkan Hakim Syarie yang didakwa dan disabitkan dengan kesalahan rasuah.

“Selain daripada kes tersebut, tiada lagi mana-mana Hakim Syarie di Malaysia yang didakwa dan disabitkan di mahkamah dengan kesalahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata, mengikut sistem perundangan di Malaysia, mana-mana orang mempunyai hak dan tidak boleh dihalang untuk membuat aduan dan setiap aduan pula harus disiasat untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Tuan Ibrahim, walau apapun alasan yang diberikan oleh Rafizi, pihaknya menegaskan bahawa andaian seseorang yang ditangkap dan ditahan tidak mengambarkan perlakuan kesalahan rasuah tersebut sehinggalah mahkamah menyabitkan kesalahan itu.

Beliau berkata, ini berpadanan dengan prinsip “a person is innocent until proven guilty”, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan kaedah fiqh “al-Aslu Bara-atu-az-Zimmah”, yang memberi pengertian, asal setiap manusia adalah bebas dari sebarang tanggungan juga boleh diertikan “Seorang yang ditahan masih dianggap bebas hinggalah terbukti perlakuan jenayahnya”.

“Kami melahirkan kekesalan di atas ucapan Rafizi yang mengaitkan Hakim Syarie dengan kesalahan rasuah, ia telah merosakkan dan mencemarkan imej dan kewibawaan Hakim Syarie khususnya dan Institusi Kehakiman Syariah amnya.

“Justeru PPSM mendesak Rafizi Ramli memohon maaf di atas ucapannya yang dilihat sebagai tohmahan semata-mata,” katanya.

Comments