Home Tempatan Rafizi Langgar BAFIA, Eric Paulsen Masih Bela

Rafizi Langgar BAFIA, Eric Paulsen Masih Bela

SHARE

Petaling Jaya, Selangor: Walaupun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dijatuhi hukuman kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen tetap menyelar penahanan ahli politik itu.

Rafizi dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Menurut The Malay Mail Online, Eric Paulsen mendakwa bahawa hukuman terhadap kejujuran Rafizi sangat “keras” dan akan menyebabkan pembocor maklumat (whistleblower) yang lain tidak akan berani tampil ke hadapan.

“Hukuman yang dijatuhkan ke atas Rafizi sangat keras walaupun Rafizi hanya menjalankan tanggungjawabnya.”

“Pembocor maklumat yang mempunyai potensi (membocorkan maklumat) terpaksa berhati-hati sebelum mendedahkan sebarang salah laku.”

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan dan seorang lagi tertuduh, bekas kerani bank, Johari Mohamad dijatuhi hukuman selepas pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali.

Namun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Sebelum ini terdapat pandangan yang mengatakan bahawa Rafizi juga telah menyalahgunakan dan memanipulasi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi mencapai matlamat politiknya.

Comments