Home Tempatan Rabies: MOA akan minta bantuan ATM

Rabies: MOA akan minta bantuan ATM

SHARE
Ahmad Shabery (kanan) yang diiringi Panglima 8 Briged Infantri Malaysia, Brigadier General Nazari Abdul Hadi (dua kanan) melawat tapak Program Semarak Patriotisme Peringkat Parlimen Kemaman di Padang Astaka, Chukai, hari ini.

KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mendapatkan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjalankan kerja-kerja memvaksin bagi mengekang wabak anjing gila atau rabies di Sarawak sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ATM akan membantu pegawai-pegawai MOA dalam melakukan tugas-tugas pengawasan dan yang berkaitan dengannya memandangkan pihaknya perlu memantau 22 lokasi yang terjejas.

Katanya, selain itu sebanyak 25,000 bekalan vaksin lagi akan dihantar ke Sarawak setelah 19,000 vaksin dihantar sebelum ini.

“Saya sudah maklumkan pada kabinet kemungkinan kalau perlu kita akan dapatkan kerjasama daripada ATM untuk membantu pegawai-pegawai kami mengambil kira jumlah vaksin yang banyak dan jumlah tenaga kerja yang tidak mencukupi.

“Setakat ini keadaan penularan wabak ini terkawal cuma yang menjadi isu (masalah) kerana wabak telah berada di negara dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum ia diketahui dan wabak ini dipercayai datang dari negara jiran” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak Program Semarak Patriotisme Peringkat Parlimen Kemaman di Padang Astaka, Chukai, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan pemimpin DAP bahawa kerajaan tidak mempunyai bekalan vaksin mencukupi bagi mengekang wabak anjing gila di Sarawak ketika ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, ekoran wabak itu, beliau sendiri akan pergi ke Sarawak pada Isnin ini (31 Julai) untuk melihat dan memantau semua kerja-kerja dalam menangani wabak berkenaan.

“Sekiranya perlukan bantuan tambahan, kita akan berusaha lagi. Yang penting dalam mengekang wabak ini kita perlukan pengamatan dan kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Sinar Online

 

Comments