Home Tempatan Rabies merebak ke Kuching, Serikin

Rabies merebak ke Kuching, Serikin

SHARE

KUCHING: Wabak rabies kini dikesan menular di Kuching apabila kawasan Pasar Basah Sungai Maong di Kuching diisytihar dijangkiti, hari ini.

Turut diisytihar dijangkiti wabak anjing gila itu ialah Serikin, pekan kecil yang menjadi tumpuan ramai di sempadan Malaysia-Indonesia dalam daerah Bau.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan mengisytiharkan dua kawasan baharu itu dibuat pada Mesyuarat Penyelarasan Wabak Rabies, yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, petang ini.

Berikutan itu, sehingga hari ini, sebanyak 22 kawasan diisytiharkan sebagai lokasi rabies di negeri ini.

Kawasan diisytiharkan sebelum ini adalah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Kuching-Sri Aman di Bahagian Serian.

Lokas lain pula ialah Kampung Entubuh dan Kampung Temong Mura di Tebedu; Rumah Janta Punggu Mawang di Sri Aman dan  Batu 5, Jalan Semeba di Kuching.

Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan lagi langkah pencegahan dan kawalan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak menyediakan empat Klinik Gigitan Anjing di Hospital Umum Sarawak, Hospital Serian, Klinik Kesihatan Sentosa dan Klinik Kesihatan Sri Aman bagi memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing bagi pesakit yang tinggal berdekatan.

“Bagi kes gigitan anjing di luar kawasan empat klinik itu, pesakit dinasihatkan untuk pergi ke klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.

“JKN Sarawak juga memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga sekarang untuk membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.

Dari 2 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017, sebanyak 402 kes gigitan baru dikesan. Hari ini sahaja, 31 kes gigitan dikesan di Serian, Sri Aman (tiga) dan Kuching (16).

Kes kumulatif gigitan anjing sejak 1 April hingga hari ini berjumlah 879 kes. Berdasarkan data di klinik gigitan anjing di Hospital Umum Sarawak dan di Hospital Serian, seramai 568 orang telah datang untuk menerima suntikan vaksin.

“Sehingga hari ini juga, sebanyak 3,604 anjing sudah divaksin dalam Program Pelalian Penyakit Rabies di Padang Bola Keranjang Batu 7, Kota Sentosa, menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang divaksin setakat ini ialah 17,844 ekor yang terdiri daripada 10,204 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain,” katanya.

Berita Harian

Comments