Home Tempatan #QuranHour cetus fenomena

#QuranHour cetus fenomena

SHARE

PUTRAJAYA – Kira-kira 100 peserta program Fajar Sejuta Pemuda (FSP), anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) meraikan #QuranHour semalam.

Selepas selesai kuliah Subuh yang disampaikan Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semua peserta berkumpul dalam beberapa kumpulan dan membaca surah al-Fajr secara serentak.

Jika sebelum ini, peserta #QuranHour hanya mengalunkan ayat al-Quran, program semalam lebih istimewa apabila mereka diberi penerangan mengenai maksud surah  itu daripada moderator program FSP.

Pengerusi YDKMM, Mohd Syafiq Zainal berkata, penganjuran #QuranHour oleh Kumpulan Media Karangkraf  mencetuskan fenomena apabila hampir seluruh umat Islam di seluruh dunia membaca al-Quran serentak dalam satu tempoh waktu.

“Ini adalah salah satu langkah yang baik bagi memupuk umat Islam lebih mendekati al-Quran dan memahaminya dengan mendalam.

“Jika dulu, mungkin orang baca al-Quran sendirian, tapi dengan pengenalan #QuranHour, saya rasa  majoriti orang Islam akan baca al-Quran bersama dalam satu atau beberapa kumpulan,” katanya.

Menurutnya, beberapa program berkonsep jelajah ke beberapa negeri dirancang menjelang berlangsung Malaysia #QuranHour 19 Jun ini, bertujuan mengajak  rakyat Malaysia menyertainya.

Katanya, pihaknya akan ke beberapa masjid di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu ini.

“Esok (hari ini), kami akan ke Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu bagi mempromosikan FSP dan #QuranHour.

Katanya, Pemangku Sultan Kelantan,  Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dijangka berangkat pada program berkenaan dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut sama menyertainya.

“Bagi program di Terengganu pula, kami telah menjemput Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk hadir ke FSP dan bersama peserta,” katanya.

Sinar Online

Comments