Home Tempatan Farouk Peru: Qur’an tidak memberi otoriti kepada ulama

Farouk Peru: Qur’an tidak memberi otoriti kepada ulama

SHARE

Editor: Setelah artikel nukilan Farouk A. Peru menjadi polemik netizen dan dijawab tokoh sarjana Islam Prof Khalif Muammar Haris. Farouk A. Peru yang berpengkalan di London menghubungi pihak Menara.my untuk memberikan hujah balas. Berikut adalah respon beliau.

MUKADIMAH

“Saya amat berbesar hati tiga hari yang lepas apabila seorang Sarjana Islam Khalif Muammar A. Harris, telah memberi maklum balas kepada pandangan saya. Saya telah mengharapkan yang hujah-hujahnya akan mengatasi hujah-hujah yang biasa saya dengar tapi malangnya, indah khabar dari rupa,” kata Pengkritik Bebas Farouk A. Peru.

Menurut Farouk, sebaliknya, hujah-hujah Khalif penuh dengan kesilapan logik (logical fallacies) yang biasa saya dengar ketika berdebat yang berbeza hanyalah nama-nama sarjana yang dia tahu tetapi gagal memahami.

Kenapa kesilapan logik menjadi satu isu? Kerana, jika kita mahu melahirkan pemikiran yang boleh berdiri walaupun difikirkan secara kritis, ia mestilah bebas daripada kesilapan-silapan logik.

“Bayangkan logik ini sebagai litaran elektrik. Jika ada rintangan ataupun dawai terputus, maka lampu tidak akan menyala, begitulah juga dengan litaran logik.”

“Jika para pembaca tiada masa, biar saya rumuskan pemikiran Khalif Muammar dengan ringkas,” katanya.

Pada dia (Khalif ), Hadis, Sunnah, Syariah adalah daripada Allah. Kenapa? Kerana ulamak telah bersepakatan yang ia begitu. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan kesepakatan ini adalah salah.

Itulah pemikirannya secara ringkas. Malangnya, dia tidak memikirkan lebih mendalam daripada itu. Ironiknya, dia sendiri memberi fakta yang melanggar dakwaannya. Saya akan beri contoh pada akhir karangan ini.

Secara panjang lebar, jawapan saya adalah berikut. Kerana terlalu banyak kesilapan logik, saya telah menyusun jawapan-jawapan saya menurut kesilapan-kesilapan dengan memberi contoh bagi setiap kesilapan. Bagi tiap-tiap jawapan,  saya juga ajukan soalan kepada Khalif supaya dia tidak ‘terlupa’ menjawabnya seperti dia ‘lupa’ menjawab poin saya yang paling utama – siapakah yang mencipta apa yang kita kenal sebagai hukum syariah. Sebenarnya, jawapannya sendiri telah menampakkan jawapan itu, cuma dia tidak mengaku sahaja.

Kesilapan Logik #1: Circular logic (logik yang membawa poin yang berasal daripada pihak sendiri iaitu ‘Aku betul. Tak percaya? Tanyalah aku’)

A. Khalif menuduh saya ‘mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Islam’.

Jawapan: Perkara-perkara asas dalam perkiraan siapa? Janganlah kita membuat pertunjukkan yang hanya ada satu Islam sahaja iaitu Ahlus Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ). Paling kurang pun ada dua jenis Islam iaitu ASWJ dan golongan Syiah. Golongan Syiah tidak memperakui ulamak ASWJ dan juga sebaliknya. Perkara asas dalam Islam versi Syiah bukanlah ‘Quran dan Sunnah’ tetapi ‘Quran dan Ahlul Bayt’. Kenapa Khalif lupa kepada Islam lain yang wujud? Adakah mereka ‘terkeluar’ daripada agama Islam?

Soalan: Adakah kamu menerima otoriti ahlul bayt? Jika tidak, sila beri sebab kenapa sedangkan mereka disebut dalam Hadith Al-Kisa yang termaktub dalam koleksi hadis Muslim. 

B. Khalif menyebut tentang khabr as-sadiq, iaitu laporan-laporan yang benar yang semestinya menjadi sebahagian daripada epistemologi Islam. Laporan-laporan ini dibahagikan kepada mutawatir dan ahad.

Jawapan: Sebenarnya, hujah inilah adalah poin yang paling jelas yang menjatuhkan hujah Khalif dengan keseluruhan. Siapa yang memberi klasifikasi kepada laporan-laporan ini? Allah? Bukan. Rasulullah? Pun bukan! Yang memberi klasifikasi-klasifikasi ini adalah manusia biasa sahaja. Adakah mereka berpandukan wahyu? Tidak. Adakah mereka menggunakan akal masing-masing? Itulah yang diharapkan. Jadi menolak mereka tidak sama dengan menolak Allah mahupun Rasulullah. Menolak mereka adalah menolak pendapat manusia yang penuh dengan bias masing-masing. Mereka sendiri pun tak bersetuju yang mana khabr as-sadiq dan yang mana bukan. Cuma mereka dan muqallid-muqallid mereka tak mahu orang-orang lain memikirkan isu itu.

Soalan: Sejak kemunculan golongan Wahabi, hadis-hadis yang dikatakan ‘sahih’ telah dipertikaikan. Adakah ini bermakna yang pertikaian hadis itu dibolehkan dan hadis-hadis yang ‘sahih’ sekarang sudah tidak lagi begitu?

C. Khalif juga meyebut tentang unsur-unsur usul al-fiqh seperti ‘istislah, istihsan, a’mal ahl al-Madinah, qaul Sahabi, Sadd al-zara’I dan sebagainya dan mengatakan mereka adalah sebahagian daripada proses ijtihad.

Jawapan: unsur-unsur ini adalah interpretasi ulamak sebagai ‘conceptual toolbox’ untuk menyelesaikan masalah fikah. Paling baik, mereka adalah interpretasi ulamak terhadap ayat-ayat Al-Quran. Tidak satu pun daripada mereka disebut secara terang dalam Al-Quran. Sebaliknya, Al-Quran memberitahu kita yang Nabi sendiri tidak tahu siapa di antara penduduk madeenah itu munafiq atau tidak jadi sumber seperti ‘amal ahl al-madeenah’ dan ‘qawl as-sahaba’ itu hanya tinggal andaian.

Soalan: Adakah sumber-sumber fiqh yang disebut Khalif dipersetujui semua mazhab? Apakah usul al-fiqh bagi mazhab Hambali? Jika tiada persetujuan, adakah kecelaruan ini daripada Nabi atau daripada ulamak?

D. Khalif sering menyebut tentang ‘kesepakatan ulamak’ yang dianggap penting untuk mensahihkan sesuatu posisi.

Jawapan: Frasa ‘kesepakatan ulamak’ (ijma’ atau consensus of scholars) ini adalah frasa yang paling biasa digunakan untuk menyonglap umat Islam. Yang sebenarnya, tidak ada ‘register’ yang ditandatangani semua ulamak Islam dari zaman ke zaman. Malahan, lebih teruk daripada itu, sampai definisi ‘ijma’’ pun tiada ijma’! Bayangkanlah betapa celarunya sistem ini. Ia mahu mengambil label ‘kesepakatan’ tetapi tiada kesepakatan dalam takrif terma itu sendiri. Tetapi ia amatlah perlu untuk digunakan untuk mengawal umat Islam yang cukup taksub kepada ulamak.

Soalan: Apakah definisi ijma’ mengikut Ash-Shafi’ee and Al-Ghazali? Adakah mereka mempunyai ijma’ dalam definisi ijma’? Jika tidak, mengapa begitu?

Kesilapan logik #2: Appeal to emotion (merayu kepada emosi untuk memenangi hujah)

A. Khalif mengatakan yang gerakan Quraniyun telah dimulakan oleh Orientalis Yahudi Goldziher and Schacht.

Jawapan: Hujah sebegini lazimnya datang daripada orang yang tidak mengkaji penulisan-penulisan ASWJ sendiri jadi saya amat terkejut bila ia datang dari seorang ‘profesor madya’. Menurut Ash-Shafi’ee sendiri, ada golongan pada zamannya yang berpendapat bahawa kitab Allah mencukupi (rujukan: Rethinking Tradition in Modern Islamic Thought, Daniel Brown). Sebelum itu, Khalifah Abu Bakr sendiri telah membakar koleksi hadisnya sendiri dan Umar telah kata ‘hasbuna kitab Allah’ (cukuplah untuk kita kitab Allah). Mereka sebenarnya orang yang paling sesuai untuk membawa semua sahabat bersama-sama untuk membukukan hadis tetapi sebaliknya, itu tindakan mereka.

Bukan sahaja itu, tiada rekod golongan Quraniyoon menggunakan teknik-teknik Goldziher dan Schacht untuk memberi justifikasi posisi mereka, baik dahulu mahupun sekarang. Khalif dan ulamak-ulamak menggunakan hujah ini hanya untuk menaikkan emosi umat Islam kerana mereka tidak menggemari Orientalis. Quraniyoon lazimnya menggunakan Al-Quran sendiri dan matn-matn hadis yang keterlaluan untuk membuat poin. Goldziher dan Schacht tidak pernah mengambil jalan ini.

Soalan: Khalif mengatakan yang sarjana Islam, Mustafa Azami, telah menjawab Joseph Schacht ‘dengan baik’. Sila buktikan dakwaan ini dengan memberi sebab mengapa ia ‘jawapan yang baik’?

Kesilapan Logik #3: Appeal to authority (merayu kepada otoriti sendiri untuk menjayakan sesuatu poin)

Khalif telah mengaku dengan implicit bahawa memang tiada penulisan yang boleh membuktikan kewujudan koleksi-koleksi awal hadith tetapi dia masih membuat dakwaan ‘Maka tidak benar dakwaan beberapa Orientalis bahawa hadith hanya muncul dalam kurun kedua dan ketiga’ (kerana mereka menghafal hadis dengan tepat kononnya).

Jawapan: Lompatan logik ini adalah kerana Khalif dan ulamak-ulamak membuat ‘appeal to authority’. Mereka mengatakan ini benar kerana ulamak-ulamak silam mengaku yang ia benar. Tiada bukti yang objektif yang boleh membuktikan dakwaan mereka. Saya ingin bertanya, kalau dakwaan ini benar, mengapa terdapat beberapa versi hadis berikut (maaf, bahasa Inggeris):

Sahih Muslim 1/33: I have been commanded to fight against people so long as they do not declare that there is no god but Allah, and he who professed it was guaranteed the protection of his property and life on my behalf except for the right affairs rest with Allah.

Sunan An-Nasai 37/11: The Messenger of Allah [SAW] said: ‘I have been commanded to fight the people until they say La ilaha illallah. If they say it, then their blood and wealth are prohibited for me, except for a right that is due, and their reckoning will be with Allah, the Mighty and Sublime.”

Sunan ibn Majah 1/1/71: “The Messenger of Allah (ﷺ) said: ‘I have been commanded to fight the people until they testify to La ilaha ill-allah (none has the right to be worshipped but Allah) and that I am the Messenger of Allah, and establish regular prayers and pay Zakat.'”

Hadis-hadis di atas jelas merujuk kepada kondisi yang sama, yang Rasulullah disuruh memerangi manusia sehingga mereka memenuhi beberapa syarat. Malangnya, syarat-syarat itu tidak sama dan hukumannya juga tidak sama dengan sepenuhnya. Satu kata ‘darah’ haram disentuh, lagi satu ‘nyawa’ disentuh. Perbezaan dalam hadis-hadis boleh menghilangkan nyawa orang!

Nota tepi: Hadis ini jelas melanggari hukum ‘tiada paksaan’ daripada Al-Quran tetapi masih termasuk dalam koleksi sahih.

Soalan: Mengapa ada beberapa versi hadis untuk satu prinsip? Adakah ini menunjukkan memori huffaz yang tepat atau bercelaru? Ataupun mereka menghafal ‘bil ma’na’ (bukan verbatim) sahaja yang menunjukkan itu interpretasi mereka?

Kesilapan logik #4: Decontexualised readings (pembacaan yang keluar daripada konteks dan juga daripada tema sesuatu teks)

A. Khalif menggunakan teknik-teknik pembacaan Al-Quran yang amat lemah untuk membuktikan poin yang hadis dan sunnah itu sumber-sumber yang diperintahkan oleh Allah. Contohnya seperti berikut:

Al-Hashr 9: untuk membuktikan yang kita wajib menerima dan menolak mengikut perintah Nabi

An-Najm 3-4 untuk membuktikan yang Nabi dibimbing wahyu pada setiap masa.

An-Nisa 65 untuk mengatakan yang kita perlu menerima semua hukuman Nabi

Aali Imran 31-32 untuk mengatakan yang kita perlu mematuhi suruhan-suruhan Nabi.

Jawapan: Semua poin di atas adalah berdasarkan bacaan yang tidak mengambil kira konteks lokal, jauh sekali teks secara keseluruhan. Bukan itu sahaja malahan mereka tidak mengambil kira ayat-ayat lain walaupun ulamak-ulamak ASWJ sendiri yang mengatakan bahawa tafsir al-quran yang terbaik ialah al-quran sendiri (prinsip ‘al quran yufassiru ba’dahu ba’dha – sebahagian Al-Quran mentafsirkan sebahagian lain). Mari kita jawap poin-poin di atas satu per satu:

Al-Hashr 9 – ini petikan tengah daripada satu ayat. Petikan Khalif dalam artikelnya pun bermula dengan ‘wa’ (dan). Kenapa tak petik ayat keseluruhan? Kerana ia tak ada kena mengena dengan hadis pun. Ia adalah mengenai fa’i (maa afa Allah wa rasulih…). Bayangkanlah, untuk membuat poinnya, Khalif terpaksa mengoyak bahagian tengah ayat! Adakah ini cara yang jujur membaca Al-Quran? Yang menyusun Al-Quran ialah Allah maka wajar kita membaca dengan berhati-hati, bukan mengoyak sebahagian ayat.

An-Najm 3-4 – sekali lagi konteks tidak dipedulikan. Mengikut tafsiran ASWJ, ‘jibril’ dikatakan berdekatan dengan Nabi. Ayat 4 yang mengatakan ‘in huwa illa wahyu yuha’ patut dibaca selari dengan Surah Yunus Ayat 15 yang menyuruh Nabi mengatakan yang ‘dia hanya mengikut apa yang diwahyukan kepadanya’. Ayat ini jelas mengenai Al-Quran maka tiada persoalan yang Nabi dibawah wahyu 24 jam. Lebih daripada itu, Nabi membuat beberapa kesilapan yang ini dirakamkan Al-Quran jadi siapa yang membimbing membuat kesilapan? Adakah Allah sendiri?

An-Nisa 65 – persoalannya, bagaimana Nabi membuat hukuman? Konsep hukuman atau perundangan nabi disebut beberapa kali dalam Al-Quran tetapi ia selalu memberi al-kitab sebagai sumber hukuman, contohnya An-Nisa, 105. Dalam ayat lain (5/48), Nabi sendiri disuruh menghukum dengan kitab dengan haqq (ahkum bil kitaab bil haqq) dan jangan mengikut hawa-hawa mereka. Kenapa hanya al-kitab disebut dan bukan as-sunnah seperti ASWJ?

Aali Imraan 31-32: saya setuju, kita patut mematuhi rasul tetapi di mana ucapan rasul? Al-Quran tidak pernah yang menyatakan yang ucapan rasul itu dalam kitab hadis. Malahan, walaupun ia menggunakan kalimah-kalimah ‘hadis’ dan ‘sunnah’, ia tidak pernah merujuk kepada hadis atau sunnah nabi. Sebaliknya, ia menyatakan dirinya sebagai ‘qawlu rasulin kareem’ (Al-Haqqah, 40) dan memberi amaran kepada rasul supaya jangan membuat ucapan-ucapan lain di atas nama Allah. Jika tidak, Allah akan membunuhnya (Al-Haqqah, 41-47).

Soalan: Jika Nabi diwahyukan pada setiap masa, apabila dia berbuat silap, siapa yang patut dipersalahkan? Dia atau Tuhan?

Kesilapan Logik #5: Strawman (membuat-buat poin yang tidak sebenarnya wujud untuk berhujah menentang poin berkenaan)

A. Khalif menyatakan ‘‘golongan liberal amat gemar bertaklid kepada Orientalis’

Jawapan: Golongan liberal itu ada macam-macam. Saya sendiri tidak pernah bertaklid kepada mana-mana orientalis pun. Saya hanya membaca Al-Quran dengan keseluruhan dan mendapati ia tidak memberi otoriti kepada sumber-sumber tektual yang lain apatah lagi kepada ulamak. Ia menyuruh kita berfikir sendiri dengan mengamati kewujudan masing-masing. Jauh sekali ia menyuruh kita mengikut cerita-cerita orang sebelum kita.

Soalan: Sila bawa satu contoh di mana saya bertaklid kepada orientalis.

B. Khalif menyatakan ‘Daripada hujah yang dikemukakan oleh Farouk jelas bahawa beliau mengambil pendekatan hermeneutika dalam memahami al-Qur’an’

Jawapan: Sekali lagi, pendekatan hermeneutika itu ada macam-macam. Secara takrifnya, ‘hermeneutics’ itu merujuk kepada mana-mana aktiviti yang bertujuan menterjemahkan sesuatu teks jadi Khalif dan ulamak-ulamak pun termasuk sekali dalam ‘golongan hermenutika’! Mungkin Khalif merujuk kepada textual criticism yang moden?

Walau bagaimana pun, saya langsung tidak bersetuju dengan Abu Zayd atau Gadamer. Pada saya, Al-Quran adalah ‘divine artefact’ yang berada di luar budaya dan sejarah. Yang tertakluk kepada budaya ialah Nabi sendiri dan juga ulamak-ulamak. Mereka adalah insan budaya kerana mereka manusia maka pemikiran mereka bergantung kepada pengalaman manusia mereka.

Soalan: Sila buktikan yang saya menggunakan teknik-teknik di atas. Jika tiada bukti, sila tarik balik kenyataan kamu jika kamu orang yang benar.

Kesilapan logik #6: Non-sequitur (melompat kepada satu poin yang bukan dalam logical flow poin sebelumnya)

A. Untuk menentang poin tentang golongan hermenutika di atas, Khalif memetik Al-Quran yang mengatakan ia benar (mubeen – 43/2 , 44/2) dan tidak mengandungi kecelaruan (ghayri dhi ‘iwaaj – 39/28). Saya sudah tentu setuju dengan kenyataan Al-Quran di atas tetapi sifat jelas Al-Quran tidak bermakna yang ulamak-ulamak ASWJ mempunyai tafsir yang benar. Ini sudah menjadi non-sequitur. Sebenarnya, ulamak-ulamak ASWJ mempunyai banyak kecelaruan pendapat dalam tafsir. Adakah ini bermakna yang Al-Quran bercelaru? Tidak, cuma mereka sebagai manusia, tertakluk kepada sifat subjektif masing-masing.

Soalan: Sila beri maksud ‘alif laam meem’. Jika anda percaya yang ia sebahagian daripada Al-Quran dan Al-Quran itu hidayah kepada manusia, maka ia juga hidayah. Sila terangkan maksud yang diberi oleh Nabi.

-TAMAT-

 

Comments