Home Antarabangsa Qatar, Bijak Mengambil Peluang Menjana Kewangan Negara

Qatar, Bijak Mengambil Peluang Menjana Kewangan Negara

SHARE

LONDON: Nama negara Qatar mendapat perhatian umum selepas Arab Saudi bersama sekutu-sekutunya bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar atas dakwaan bahawa Doha terlibat dalam kegiatan keganasan, membantu gerakan Ikhwanul Muslimin dan perjuangan anti-Israel.

Namun, negara kecil tetapi kaya ini tidak gentar dengan dugaan yang tiba dan masih mempunyai ekonomi yang stabil hingga saat ini.

CNBC International melaporkan bahawa Qatar merupakan sebuah negara kecil dan hanya mempunyai populasi penduduk sebanyak 2.2 juta. Walau bagaimanapun, Qatar yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli ini mempunyai pelaburan dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, hartanah, barang-barang mewah, sukan dan teknologi.

Dana kekayaan berdaulat Qatar pada hari ini adalah sebanyak $334 bilion, ke-11 dana terbesar di dunia. Aset Qatar kebanyakannya terdapat di London.

34% daripada 15 buah pencakar langit paling mahal di London dimiliki oleh Qatar berbanding 21% yang dimiliki oleh syarikat-syarikat dari United Kingdom. Qatar juga mempunyai kepentingan sebanyak 44% daripada hampir $9 bilion melibatkan projek pembangunan semula di Manhattan.

Pada tahun 2012, Qatar telah membeli 20% kepentingan di Lapangan Terbang Heathrow London dan memiliki 25% kepentingan di Lapangan Terbang St. Petersburg di Rusia.

Kebiasaannya, Qatar akan membuat pelaburan di negara Eropah, namun negara kaya itu kini membuat keputusan untuk meluaskan pelaburan di benua Amerika Utara dan Asia. Setahun yang lepas, Dana Pelaburan Qatar di Asia telah membeli Asia Square Tower di Singapura daripada BlackRock, Inc. Pelaburan ini merupakan transaksi terbesar dalam sejarah Singapura melibatkan ruang pejabat.

Daripada sini, dapat dilihat bagaimana Qatar menggunakan kekayaan dan menambah kekayaan negara dengan cara melabur dalam pelbagai industri dan tidak bergantung kepada pendapatan daripada jualan hasil bumi semata-mata. Negara terkaya di dunia ini menghadapi pelbagai dugaan oleh pihak yang sama bangsa dan agama dengan mereka.

Comments