Home Tempatan Pupuk, suburkan patriotisma

Pupuk, suburkan patriotisma

SHARE

KUALA LUMPUR 9 Mei – Budaya serta semangat patriotisma dalam kalangan anak muda perlu dipupuk dan disuburkan untuk memastikan generasi masa depan mampu menggalas tanggungjawab dan peranan pentadbiran negara secara lebih holistik.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, penglibatan golongan muda khususnya golongan mahasiswa amat penting bagi mencorak budaya politik serta kepemimpinan yang lebih berintegriti mencakupi semangat cintakan negara.

“Budaya toleransi dalam kalangan kaum di Malaysia perlu diselitkan dalam amalan politik tempatan supaya persefahaman yang wujud dapat diselari dengan dasar pentadbiran negara.

“Maka, penglibatan golongan mahasiswa dalam parlimen secara langsung akan memberikan pendedahan seterusnya memperkasa pembinaan negara bangsa mengambil kira asas patriotisma dan kepentingan bersama,” katanya dalam ucapan pelancaran buku ‘Parlimen Mahasiswa – Patriotisma & Toleransi Kaum’ di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dusuki; Timbalan Presiden Mubarak, Tan Sri Utama Othman Aroff dan Tan Sri Paduka Zaleha Ismail serta ahli parlimen mahasiswa yang terdiri daripada wakil-wakil pelajar universiti awam dan swasta tempatan.

UTUSAN ONLINE

Comments