Home Tempatan Pupuk Budaya Seks Bebas Agama – Projek Ilmu Seks

Pupuk Budaya Seks Bebas Agama – Projek Ilmu Seks

SHARE

Kuala Lumpur: Projek Ilmu Seks (PIS) merupakan sebuah program mengenai pendidikan seksual yang membincangkan tentang langkah-langkah melakukan hubungan seks yang selamat, termasuk persetujuan melakukan seks ‘suka sama suka’, mencegah kehamilan dan penyakit kelamin secara terbuka melalui video di YouTube.

Pengasasnya, Shayne Wyat (nama samaran), seorang graduan dalam bidang perubatan, mengakui pernah melakukan hubungan seks songsang (gay) yang berakhir dengan penyakit kelamin (STD) yang mana telah mendorong dirinya untuk mendidik masyarakat mengenai seks.

Menurut sumber, Shayne pernah menjalani prosedur ‘colonoscopy’ iaitu pemeriksaan dimana kamera dimasukkan ke dalam rongga dubur. Akan tetapi, dia telah didiagnosis secara salah dan diberitahu penderitaan sakit yang dialami itu disebabkan oleh pendarahan.

“Pada masa yang sama, saya gugup … bukan hanya kerana saya aktif berseksual, tetapi saya juga mempunyai hubungan seks gay.”

“Bagaimanakah saya mahu memberitahu doktor, ‘Saya tidur dengan seorang lelaki dan punggung saya sekarang sakit’?” katanya.

Selain Shayne, projek Ilmu Seks ini turut dikendalikan oleh seorang editor majalah Herinza, 23, aktivis Mussy Del Cun*, 22, rakan yang dikenalinya semasa program anjuran Komuniti Muslim Universal (KMU) dan Mischa Selamat, seorang aktivis transgender yang terlibat dengan Seksualiti Merdeka dan Yayasan PT sejak tahun 2011.

Katanya lagi, mereka sengaja memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam video penerangan seks untuk mendapatkan target penonton yang lebih besar kerana banyak jurucakap orang Melayu yang jahil tentang seks, percaya benda karut dan menggunakan hujah-hujah agama yang tidak saintifik.

“Polisi kami adalah kami tidak mahu meletakkan langsung unsur agama dalam video kami, kami hanya mengambil aspek sains dan kesihatan,” kata Shayne sambil meluahkan bahawa akan ada pihak yang berkomentar mereka menyokong perbuatan yang dilarang agama.

Shayne juga berkata akan meluaskan lagi saluran ilmu seks ini untuk memberi ruang membina satu komuniti yang boleh bersembang tentang seks secara aman, bertolak ansur dengan terbuka.

Dalam pada itu, kumpulan ini juga merancang untuk menerokai lebih banyak topik-topik yang feminin pada musim kedua dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk lebih terbuka mengenai seksualiti mereka.

Difahamkan, Projek Ilmu Seks ini turut disokong oleh lima badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Advokasi Hak-Hak Reproduktif Malaysia, Yayasan PT, Majlis AIDS Malaysia, All Women’s Action Society dan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif.

Comments