Home Tempatan Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah: Ada asas dan relevannya

Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah: Ada asas dan relevannya

SHARE

Pulau Pinang : Memasukkan semula Pulau Pinang ke dalam wilayah negeri Kedah mempunyai asas dan relevannya namun perlaksanaannya tidak semudah ungkapan, kata  Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yussof Latiff ketika dihubungi Menara.my.

Menurutnya, Pulau Pinang dan Kedah itu ada sejarahnya tersendiri di mana penyerahan oleh Sultan Kedah untuk dipajak pulau ini kepada Francis Light sekitar tahun 1786 dengan bayaran ufti sebanyak 10 ribu.

Beliau berkata, isu ini sudah dibangkitkan beberapa tahun yang lalu di mana Kerajaan Negeri Kedah telah bersepakat untuk menaikkan sewa pajakkan ke atas Pulau Pinang yang pernah dibangkitkan dalam  Dewan Undangan Negeri beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia terlakluk kepada Undang-undang dan Perlembagaan serta menegaskan kenyataan untuk memulangkan semula Pulau Pinang boleh dibuat tetapi perlaksanaannya bukan semudah yang  diungkap.

“Teringat saya sekitar tahun 1965, ketika Singapura sebagai satu negeri di dalam Malaysia yang hendak dikeluarkan dan perlu dibawa ke Parlimen selain Dewan Undangan Singapura sendiri perlu meluluskan dahulu kemudian di bawa pula ke Majlis Raja-raja.

Menurutnya,  ini adalah satu tindakan proses perlaksanaan yang sangat sukar walaupun ada asas dan relevannya untuk direalisasikan.

Francis Light bukan orang pertama buka Pulau Pinang.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Pulau Pinang(GABUNGAN) termasuk Presiden Pertubuhan Amanah Melayu Pulau Pinang merumuskan bahawa pembukaan Pulau Pinang bukanlah dibuka oleh Francis Light seperti yang umum sedia maklum.

Kata beliau,  sebelum kedatangan Francis Light pada tahun 1786 ke Pulau Pinang telah pun ada penduduk-penduduk Melayu menduduki beberapa daerah contohnya  di Batu Uban, Batu Feringghi, Jelutong, Dato`Keramat dan beberapa lagi tempat dengan nama melayu telah wujud.

Menurutnya, jelas apabila ada nama-nama Melayu di tempat-tempat  ini, menunjukkan sudah ada penduduk Melayu yang datang sebagai nelayan mahupun pendakwah sebelum kedatangan Francis Light lagi dan jika mengikut sejarah sekalipun pembukaan pertama Pulau Pinang sendiri bukanlah oleh Francis Light.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Melayu Pulau Pinang PEWARIS menafikan sekeras-kerasnya fakta-fakta yang cuba menunjukkan bahawa  Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light  dan mengandaikan kenyataan itu adalah tidak tepat.

Katanya, ada puak-puak yang cuba menafi dan menidakkan kepentingan Melayu di Pulau Pinang ini dan kita akan mengadakan perjumpaan termasuk dialog bersama mereka bagi menjelaskan kedudukan dan keadaan hal yang sebenarnya.

Beliau berkata,  hal ini bukanlah perkara baru, satu ketika dahulu sekitar tahun 1955 iaitu sebelum kemerdekaan dicapai lagi sudah ada ada puak-puak berkepentingan dikenali sebagai Dewan Perdagangan Pulau Pinang atau “The International Chamber of Commerce” di Pulau Pinang yang menubuhkan satu jawatankuasa menuntut pengasingan Pulau Pinang dari Tanah Melayu atau tanah besar seperti pengasingan China dan Hong Kong.

“Bagaimanapun usaha mereka gagal apabila dibantah oleh pemerintah British ketika itu selain tidak mendapat kelulusan dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengamalkan perpaduan antara kaum selain menubuhkan Majlis Muhibah Pulau Pinang sebagai satu ciri-ciri untuk mengeratkan perpaduan kaum sebagai tonggak keamanan dalam Negara.

Comments