Home Tempatan Pulau Pinang Bandar Kristian, Bukti Tiada Taat Setia Kepada YDP Agong –...

Pulau Pinang Bandar Kristian, Bukti Tiada Taat Setia Kepada YDP Agong – Hafiz Nordin

SHARE

PULAU PINANG: Ucapan Senator DAP Dr Ariffin S.M Omar yang mengatakan perlu diubah perlembagaan untuk menjadikan Penang Christian City ini jelas berunsur hasutan kerana mencadangkan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang memartabatkan Islam sebagai agama negeri dipinda, kata Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

Menurutnya, Senator DAP itu sewajarnya berucap dalam Dewan Negara untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan bukan sebaliknya.

“Jelas Islam sebagai agama negara Malaysia dan negeri Pulau Pinang maka, tidak sepatutnya beliau memberi ucapan yang menunjukkan seolah beliau tidak mempunyai taat setia kepada YDPA dengan menidakkan sumpah YDPA untuk memelihara Islam pada setiap masa,” katanya.

Mohamed Hafiz berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, beliau sangat tidak bersetuju dan sudah pun membuat laporan polis terhadap senator DAP tersebut agar pihak polis menangkap dan menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sikap seperti ini mesti dihentikan segera dengan menggunakan undang-undang atau akta yang sedia ada yang sebenarnya sudah mencukupi bagi menghalang usaha menjatuhkan YDPA selaku Ketua Negara dan agama Islam.

Beliau berkata, gerak kerja yang boleh dikaitkan dengan gerakan evangelis yang mahu menukar negara Islam Malaysia kepada sebuah negara Kristian ini wajib dihentikan segera.

“Sesiapa yang berkaitan mesti ditangkap dan didakwa ke Mahkamah kerana ia juga berunsur keganasan,” katanya ketika dihubungi Menara.my, di sini, semalam.

Menurut beliau, kalau dalam komuniti Islam yang menggelarkan diri mereka IS dikategorikan pengganas dan paling dikehendaki, bagaimana pula dengan gerakan ‘Christian City’ ini?

“Tidakkah mereka juga pengganas agama? Tidakkah SOSMA amat sesuai digunakan disamping undang-undang Majils Keselamatan Negara (MKN) dan Kanun Keseksaan untuk mengekang gerakan mereka sama seperti digunakan ke atas IS,” katanya.

Mohamed Hafiz berkata, telah banyak fakta dan bukti yang boleh disabitkan mengenai persoalan yang mendedahkan keterlibatan secara langsung DAP dengan gerakan evangelis ini.

Menurutnya lagi, perkara itu semakin jelas, walaupun dalam masa yang sama DAP berkali-kali menafikan ada terlibat dengan agenda evangelisme tetapi bukti semakin banyak menunjukkan mereka yang ada hubungan secara rasmi dengan DAP seolah-olah ‘bekerja’ untuk gerakan evangelikal tempatan dan antarabangsa.

“Sebab itu saya mencabar DAP untuk membuktikan mereka tidak terlibat dengan semua ini dengan menyaman seorang bekas ahli DAP yang mendedahkan satu majlis yang dihadiri oleh seorang pemimpin DAP yang sangat rapat dengan Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau berkata, antara lain majlis yang diadakan di sebuah hotel di negeri Pulau Pinang itu menyaksikan beberapa orang paderi dari dalam dan luar negara turut bersumpah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang agama rasminya adalah Kristian.

Comments