Home Tempatan Promosi produk, perkhidmatan halal di China

Promosi produk, perkhidmatan halal di China

SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, mengetuai delegasi mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia di Lanzhou, China dari 6 hingga 9 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata 90 perwakilan daripada 31 syarikat Malaysia dan pelbagai organisasi kerajaan Malaysia akan menyertai Pameran Perdagangan dan Pelaburan Lanzhou 2017 itu.

“Penyertaan itu tepat pada masanya memandangkan Lanzhou dikenal pasti oleh kerajaan China sebagai antara hab perdagangan halal di negara itu, selain pintu masuk strategik China bagi barangan halal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penyertaan pada pameran itu akan membolehkan Malaysia menerokai pasaran Islam berjiran Gansu seperti Ningxia, Qinghai, Xinjiang dan wilayah berdekatan.

“Kami menerusi pelbagai inisiatif promosi eksport, akan terus meningkatkan eksport Malaysia ke China,” katanya.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2009.

Bagi tempoh Januari hingga April 2017, dagangan Malaysia dengan China meningkat 32.7 peratus kepada RM91.36 bilion, dengan eksport melonjak 42.5 peratus kepada RM39.27 bilion, manakala import meningkat 26.1 peratus kepada RM52.09 bilion.

Barangan elektrik dan elektronik, getah dan kimia serta petroleum menyumbang kepada peningkatan kadar eksport itu.

Berita Harian

 

Comments