Home Tempatan Promosi Isteri Jadi Imam, Suara Feminis – Dr Muhammad Faisal Ashaari

Promosi Isteri Jadi Imam, Suara Feminis – Dr Muhammad Faisal Ashaari

SHARE

PUTRAJAYA: Jika kita merujuk kepada keseluruhan kenyataan yang ditulis, jelas kelihatan Nik Elin Nik Abdul Rashid ini sebagai seorang Feminis. Puisi “I am a Malay woman” itu juga ada menunjukkan dia membawa suara dari fahaman feminisme, kata Pensyarah Kanan UKM, Dr Muhammad Faisal Ashaari.

Menurutnya, kaedah sembahyang yang cuba ditunjukkan oleh mereka ini ialah satu perkara yang cuba mencabar tradisi Islam.

Beliau yang juga pakar dalam bidang Dakwah dan Komunikasi Media Baharu berkata, “Mencabar tradisi Islam ini merupakan satu bentuk pemikiran post-modernisme dalam bentuk ingin mencabar semua perkara amalan-amalan tradisi termasuk Aminah Wadud yang menjadi imam solat, semua itu hanyalah berbentuk untuk mempermainkan atau bermain-main sahaja bagi mencabar tradisi orang Islam.”

Ditanya apakah cara solat mengikut keselesaan masing-masing seperti suami Nik Elin yang lebih selesa sekiranya Nik Elin Nik Rashid sendiri yang mengimamkannya solat meskipun telah pandai bersolat, Dr Muhammad Faisal berpendapat, tidak sah seorang perempuan menjadi imam kepada seorang lelaki, tetapi untuk mengajar solat jika lelaki itu tidak tahu langsung bolehlah dimaafkan untuk sementara waktu, namun, untuk menjadi imam secara berterusan itu tidak boleh. Jikapun menjadi imam, hanya di peringkat awal sebelum suaminya tahu solat.

Persoalan apakah Islam membolehkan Nik Elin memimpin solat suaminya secara ‘video conferencing’ melalui aplikasi Skype sewaktu suaminya berada di luar negara, Dr Muhammad Faisal menegaskan, sama ada di luar negara atau di mana sekalipun, tidak wajar ia dilakukan. Namun, saya kurang pasti kaedah memimpin solat secara Skype yang dilakukan oleh Nik Elin terhadap suaminya kerana kita tidak melihat bagaimana cara yang dilakukan itu, adakah tunjuk ajar dan penerangan sahaja, wallahualam, tetapi jika menjadi imam menggunakan ‘video conferencing’ melalui aplikasi Skype, itu tidak mungkin.

“Memang tak bolehlah jadi imam solat melalui Skype, ‘video conferencing’,” katanya.

Beliau berkata, “Ini bukan soal selesa ataupun tidak, ini merupakan ajaran Islam. Islam merupakan agama yang bukan ikut keselesaan kita ataupun tidak, Tuhan suruh kita melakukan sesuatu, walaupun sukar kita kena buat, itu tanda kita seorang yang beragama.”

Menurutnya lagi, “Kalau agama mengikut selesa kita maka, hilanglah nilai agama dan kepercayaan, jadi kalau dia (Nik Elin) kata dia lebih selesa solat dengan cara begitu, itu adalah cara selesa yang tidak betul.”

“Tak perlu berimamkan isteri, suaminya boleh saja sembahyang sendiri-sendiri, tidak ada masalah pun, dan kalau dia tidak tahu dia kena belajarlah,” katanya.

Dalam kenyataan yang dilaporkan apabila Nik Elin berkata, “lebih baik” solat dengan caranya daripada mereka yang lahir daripada keluarga yang beragama Islam namun mengabaikan solat 5 waktu sehari semalam, Dr Muhammad Faisal berkata, “Yang tidak solat itu dah memang berdosalah, tidak kira baru menganut Islam atau sudah lama, sihat ataupun sakit, solat itu perkara wajib kena buat.”

“Untuk laksanakan sembahyang ini ada cara-cara yang ditetapkan, kalau agama Islam kena ikutlah peraturannya, bukan agama yang kena ikut kita, sebaliknya kitalah yang kena ikuti peraturan agama,” katanya.

Menurutnya lagi, “Kalau tidak tahu dia boleh belajar, dan kalau dia baru belajar dalam sebulan dua dan masih belum faham itu adalah ruang untuk dimaafkan tetapi kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk bacaan surah al-Fatihah ada kaedahnya yang mudah sebenarnya, walaupun bacaan belum lancar atau tidak tepat dalam tempoh tertentu dan tak perlulah sehingga ‘video conference’ dan sebagainya dan ketika musafir ini juga ada kaedah tersendiri sebagai contohnya solat jamak dan sebagainya.”

“Jadi persoalan mengenai lebih baik sembahyang sedikit daripada tak sembahyang langsung itu tidak kenalah,” katanya.

Beliau berkata, “Sebenarnya golongan Feminisme dengan pemikiran post-modernisme ini sengaja mahu menimbulkan kontroversi terhadap masyarakat, secara umumnya tak perlu kita nak ambil kisah pun terhadap isu yang dibangkitkan ini sehingga membawa kepada satu konflik yang mampu memberi impak negatif.”

“Jelas, kita amal Islam ini bukan hanya sekadar mengikut al-Quran sahaja malah Hadith dan Sunnah, amalan sahabat-sahabat, Ijma` Ulama dan Qias perlu disekalikan kerana perkara ini saling lengkap-melengkapi,” katanya bagi mengakhiri temubual.

Comments