Home Tempatan Projek prasarana berterusan boleh bantu kurangkan tekanan inflasi

Projek prasarana berterusan boleh bantu kurangkan tekanan inflasi

Kerana ia boleh merangsang pelaburan dan perbelanjaan swasta, kata penganalisis

SHARE

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan berterusan projek prasarana boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi di negara ini kerana ia boleh merangsang pelaburan dan perbelanjaan swasta.

Selain itu, jangkaan harga minyak sawit akan menjadi lemah tidak lama lagi berikutan China mengurangkan pembelian ke atas komoditi tersebut, akan juga mempunyai kesan ke atas ekonomi tempatan, kata penganalisis.

Pada tahap tertentu, keadaan ini akan membantu mengekang inflasi, kata mereka.

Harga tinggi komoditi terbabit menyebabkan kenaikan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk Januari kepada 3.2%, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan.

Inflasi yang diukur IHP itu diunjur akan memurata sekitar 3.4% sehingga akhir tahun ini.

Mengulas mengenai kadar inflasi lebih tinggi pada Januari, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam (M) Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kadar inflasi itu dipacu oleh kos dan mata wang yang lebih rendah, bukannya permintaan.

“Pengguna dijangka menjadi lebih berhati-hati dan ini akan memberi kesan ke atas pertumbuhan penggunaan swasta.

“Dalam erti kata lain, ini akan mengehadkan pertumbuhan. Bagaimanapun kita telah melihat kelemahan ringgit telah memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan eksport dan perdagangan bersih,” katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai langkah yang boleh mengurangkan tekanan inflasi.

“Mungkin campur tangan kerajaan seperti meletakkan had atau harga siling akan membantu buat sementara waktu,” katanya.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, tekanan inflasi di Malaysia boleh dikurangkan jika program rangsangan China berakhir atau tidak lagi begitu bersemangat, yang akan mengurangkan permintaan dan diterjemahkan kepada harga komoditi yang lebih lemah serta IHP yang lebih rendah.

“Saya berpendapat terdapat peluang yang baik ia akan berlaku, kerana inflasi yang tinggi kali ini atau peningkatan harga komoditi itu dicetuskan oleh program rangsangan China.

“Mungkin dalam beberapa bulan, ia akan diterjemahkan kepada penurunan harga komoditi atau sekurang-kurangnya tidak meningkat lagi.

“Kita kena tunggu dan lihat dan diharapkan ia akan berlaku,” tambahnya.

Pong berkata, perkara terbaik yang Malaysia boleh harapkan ialah inflasi tersebut akan berakhir pada pertengahan tahun ini.

Jabatan Perangkaan mengumumkan Rabu lalu yang inflasi pada Januari berkembang 3.2%, terutama disebabkan peningkatan dalam kos pengangkutan berikutan harga petrol yang lebih tinggi.

Free Malaysia Today

Comments