Home Tempatan Program “Quran Hour” Ajak Masyarakat Baca, Fahami Dan Amal Ajaran Al-Quran

Program “Quran Hour” Ajak Masyarakat Baca, Fahami Dan Amal Ajaran Al-Quran

SHARE

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Program tahunan ‘World Quran Hour’ dan ‘Malaysia Quran Hour’ bermatlamat untuk mengajak dan menggalakkan umat Islam supaya membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung dalam al-Quran.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Ahmad Yani Abdul Manaf berkata melalui program itu umat Islam berpeluang untuk meluangkan masa selama satu jam sehari untuk membaca dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran.

Beliau berkata program itu juga mendidik umat Islam supaya sentiasa membaca al-Quran secara berterusan pada setiap hari dan bukan hanya pada masa-masa tertentu sahaja.

“Program ini berskala besar sebab kita nak impaknya supaya umat Islam kembali kepada al-Quran,” katanya kepada Bernama di sini.

Program edisi ketiga ‘Malaysia Quran Hour’, dengan tema ‘Bangsa Berbudi & Penyayang’, akan berlangsung selama sejam bermula jam 12 tengah hari pada 19 Jun ini bersamaan 24 Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sementara itu, ‘World Quran Hour’ pula yang memasuki tahun kedua penganjurannya pada tahun ini akan diadakan pada 9 Zulhijjah yang secara kebetulan jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan.

Ahmad Yani berkata program itu juga membantu memudahkan umat Islam supaya lebih memahami dan seterusnya dapat membacanya sepanjang tahun melalui aktiviti yang dijalankan dalam program berkenaan.

Katanya, bagi individu yang tidak lancar membaca al-Quran, mereka boleh membaca terjemahannya malah sepanjang program itu, beberapa aktiviti juga turut diadakan antaranya tadabbur, tazakur dan membaca ayat-ayat terjemahan al-Quran.

Katanya, sejak kempen ‘Malaysia Quran Hour’ itu dijalankan, sambutan umat Islam sangat mengalakkan termasuk daripada individu, pelajar dan komuniti Islam di luar negara melalui perkongsian di laman sosial masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad Yani berkata program ‘Malaysia Quran Hour’ itu turut dijayakan oleh media cetak, media elektronik dan media sosial antaranya RTM, Bernama, Kumpulan Media Prima, Kumpulan Utusan, NSTP Group dan Kumpulan Media Karangkraf.

Bernama

Comments