Home Tempatan Program agama, hiburan ‘Islamik’ warnai Himpunan RUU355 esok

Program agama, hiburan ‘Islamik’ warnai Himpunan RUU355 esok

Pelawak Wahid Senario dijadualkan menjadi pengacara majlis himpunan itu dan menampilkan persembahan kumpulan nasyid Nowseeheart.

SHARE

PETALING JAYA: Selain ceramah daripada agamawan dan pemimpin PAS, program hiburan turut bakal mewarnai Himpunan RUU355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur, esok.

Kali ini, PAS sekali lagi meneruskan kebiasaannya dengan menampilkan selebriti tanah air yang pernah popular satu masa dulu.

Menurut atur cara yang disiarkan di beberapa laman Facebook parti itu, program yang dijadualkan pada 2 petang hingga 11 malam ini akan diacarakan pelawak Wahid Senario, serta persembahan kumpulan nasyid Nowseeheart dan Shoutul Amal.

Persembahan mereka pada sebelah petang, diselang-selikan dengan ucapan daripada badan dan NGO seperti Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda serta beberapa penceramah bukan Islam.

Tidak ketinggalan pastinya sesi bersama penceramah terkenal dari Terengganu, Azhar Idrus yang menutup acara sesi petang.

Sesi malam lebih menumpukan kepada ucapan pemimpin PAS dan tokoh lain antaranya Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad dan penutupnya oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang merangkap pembawa usul RUU yang menjadi perdebatan hangat itu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang disahkan kehadirannya oleh PAS beberapa hari lalu akan memberikan tazkirah sebelum solat Isyak.

Terdahulu, PAS dilaporkan menyasarkan 200,000 orang dijangka menghadiri himpunan bertema “Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera” itu.

Himpunan itu bertujuan memberi penerangan serta menunjukkan sokongan orang ramai terhadap usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

Free Malaysia Today

Comments